Peruntukan BKC melibatkan dana RM3.1 bilion: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul. - Foto Bernama
Tengku Zafrul. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pembayaran Fasa 1 bagi Bantuan Khas Covid-19 (BKC) akan dibuat secara berperingkat mulai 6 September 2021 bagi penerima B40 dan 9 September 2021 bagi penerima M40, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Peruntukan itu ujar beliau, melibatkan dana berjumlah RM3.1 bilion serta memanfaatkan 4.4 juta isi rumah, 1.1 juta warga emas yang bujang atau tiada pasangan dan 4.5 juta individu bujang.

“Secara keseluruhannya, inisiatif bantuan tunai ini dijangka memanfaatkan hampir 10 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.

“Bayaran BKC ini dijadualkan pada September, November dan Disember 2021,” katanya semasa membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-66 menerusi laman Facebook beliau, di sini, pada Rabu.

Tengku Zafrul juga memberitahu, Program Jaringan Prihatin yang kini dilanjutkan sehingga 30 September telah ditambah baik dengan penambahan RM500 juta di bawah Pakej Pemerkasa menjadikan nilainya sebanyak RM2 bilion.

“Selain itu syarikat telekomunikasi juga akan menawarkan faedah tambahan terutamanya data tambahan percuma bernilai RM1.5 bilion, dan Ini menjadikan faedah keseluruhan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion,” katanya.

Menurutnya, semua warganegara Malaysia yang layak menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) juga layak menyertai Program Jaringan Prihatin dan mendapat subsidi pelan data bulanan ataupun subsidi pembelian pakej peranti mudah alih.

“Setakat 20 Ogos, subsidi bernilai rm412.6 juta telahpun berjaya dimanfaatkan oleh 3.1 juta penerima BPR,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tengku Zafrul menjelaskan, keyakinan dalam transformasi digital adalah berasaskan peningkatan fokus kerajaan untuk mengukuhkan dan meningkatkan rangkaian telekomunikasi asas dengan adanya peruntukan khusus sebanyak RM9.4 bilion dalam Belanjawan 2021 yang merangkumi sektor pendidikan, pekerjaan dan transformasi digital.

Ini turut disokong oleh Rancangan Infrastruktur Digital Nasional Jalinan Digital Negara (Jendela) yang juga memperuntukkan dana untuk meningkatkan kesalinghubungan digital di sekolah di seluruh negara sebagai usaha menyokong peralihan pembelajaran dalam talian serta memberikan pengalaman jalur lebar yang lebih baik dan untuk mempersiapkan negara ke arah teknologi 5G, katanya.

“Selain itu terdapat juga rancangan di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) seperti penyediaan program latihan dan kemahiran semula untuk memudahkan peralihan tenaga kerja ke dalam industri ICT dan skim geran berkaitan pendigitalan.

“Langkah-langkah ini tidak hanya menyokong peningkatan hubungan digital tetapi juga mewujudkan masyarakat digital yang lebih inklusif memacu aktiviti perniagaan yang dapat meningkatkan peluang Malaysia untuk menjadi hub digital serantau pada era revolusi perindustrian keempat,” kata Tengku Zafrul. - Bernama