Pesara rugi RM418,000 ditipu Macau Scam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pesara kerajaan kerugian RM418,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai syarikat insurans dan pegawai polis pada awal Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan pada Isnin lalu daripada seorang wanita berusia awal 60-an dari Bachok.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan telefon kononnya dari sebuah syarikat insurans menyatakan tuntutan insurans berjumlah RM48,000 sudah diluluskan dan dibayar ke akaun wanita itu di sebuah bank tempatan.

“Mangsa menafikan membuat sebarang tuntutan atau memiliki akaun di bank tersebut sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai anggota polis dan meminta mangsa mendedahkan semua butiran akaun seperti nombor akaun, nombor kad mesin transaksi automatik (ATM) serta baki akaun.

"Selepas itu, panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek kononnya pegawai atasan yang mengaku sebagai Tuan Chong dan mendakwa terdapat waran tangkap ke atas mangsa kerana terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram bernilai RM2.18 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Shafien berkata, sebagai alasan untuk memudahkan siasatan dan mengelak mangsa ditangkap, Tuan Chong mengarahkan mangsa memindahkan semua wangnya ke satu akaun bank yang baharu dibuka di cawangan Kota Bharu.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang sebanyak RM418,000 dalam akaunnya sudah dipindahkan ke akaun bank milik pihak ketiga pada Khamis lalu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

“Kegiatan penipuan jenayah telekomunikasi seperti Macau Scam mendapat liputan meluas media massa dan media sosial, namun masih ada yang terpedaya daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang,” katanya.

Tambah beliau, bermula 1 Januari sehingga Selasa, sebanyak 45 kes Macau Scam disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan melibatkan kerugian berjumlah RM1.5 juta.

"Walaupun jumlah itu menurun berbanding 95 kes dengan jumlah kerugian RM4.1 juta pada tahun lalu, polis Kelantan mengingatkan semua masyarakat supaya membuat semakan di aplikasi Check Scammers CCID jika dihubungi nombor telefon tidak dikenali.

“Jangan mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan melalui telefon atau media sosial kepada individu tidak dikenali kerana mereka licik antaranya menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mahkamah, pihak polis atau wakil insurans,” katanya.