Tiada kes kematian akibat vaksinasi Covid-19: Khairy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) ketika hadir pada sidang media di kementeriannya hari ini. Turut kelihatan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri). -Foto Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) ketika hadir pada sidang media di kementeriannya hari ini. Turut kelihatan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri). -Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan bahawa setakat ini tiada kes kematian yang dikaitkan secara langsung dengan vaksinasi Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya telah melaksanakan pemantauan yang rapi terhadap kes kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) bagi memastikan vaksin yang diberi selamat, malah tidak mengundang kemudaratan.

"Sehingga hari ini, saya ingin menegaskan bahawa tidak ada satu pun kes kematian yang telah menunjukkan kaitan langsung dengan vaksinasi.

"Tetapi untuk melegakan hati rakyat, saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, kita akan keluarkan data lengkap mengenai AEFI minggu depan," katanya pada sidang akhbar secara dalam talian pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan juga Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong.
Artikel Berkaitan:


Khairy berkata, sebanyak 0.04 peratus daripada 1,000 dos vaksin diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mengalami kesan sampingan AEFI.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga Selasa, sebanyak 84.3 peratus populasi dewasa telah pun menerima dos pertama, manakala 64.2 peratus lagi lengkap dua dos vaksin Covid-19.

“Di beberapa negeri seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Labuan, kita dapat lihat kadar populasi dewasa yang telah mendapat dos pertama adalah melebihi 90 peratus, manakala lebih 75 peratus lagi sudah lengkap dua dos vaksin.

“Bagi negeri-negeri lain, aktiviti pemberian vaksin sedang dipertingkatkan dan kita menyasarkan 80 peratus daripada populasi dewasa akan menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada akhir Oktober ini,” ujar Khairy.