Kerajaan tubuh 'task force' ATM, MINDEF

Hishammuddin pada sidang media hari ini. Foto Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid
Hishammuddin pada sidang media hari ini. Foto Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebuah jawatan kuasa bertindak atau 'task force' baharu akan diwujudkan bagi mengkoordinasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam mengurus dan memenuhi agenda nasional dalam memerangi Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, task force itu akan diketuai Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz yang akan melapor terus kepadanya setiap minggu.

Usaha itu sekali gus bagi melihat perkembangan positif ke arah merealisasikan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam tempoh 100 hari sebagaimana yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“MINDEF dan ketiga-tiga cabang ATM perlu melaporkan tindakan yang sudah dilaksanakan selama lebih setahun ini serta mencadangkan kepada saya apa lagi tindakan susulan yang boleh ditambah baik.

“Ia mengambil kira Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKVSTF), selain membantu usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang akhbar sempena memulakan tugas Menteri Kanan Pertahanan yang baharu di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan pada Rabu.

Hishammuddin berkata, penubuhan jawatankuasa bertindak itu bagi membolehkan MINDEF dan ATM membantu negara secara lebih menyeluruh dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

“MINDEF dan ATM mempunyai banyak kelebihan termasuk infrastruktur di seluruh negara seperti Hospital Angkatan Tentera, Hospital Medan dan sekolah dalam kem yang boleh dimanfaatkan untuk penambahbaikan bagi memenuhi keperluan agenda nasional,” ujarnya.

Pihaknya akan turut bekerjasama dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan dan Penguatkuasaan dalam mengatur gerak semua agensi penguatkuasaan dan pemantauan secara lebih menyeluruh supaya usaha memperkemas dan memperkasa aspek ini dapat dilaksanakan sebaiknya.

Artikel Berkaitan:

MINDEF dan ATM juga katanya, akan terus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan rakan negara sekutu sedia ada serta meneruskan hubungan baik bersama negara lain khususnya dalam aspek diplomasi ketenteraan, aspek keselamatan antarabangsa dalam memerangi pengganas, pengurusan pandemik Covid-19, sistem kesihatan dan ekonomi serta kesejahteraan.

“Sebagai contoh, semalam saya mengadakan perbualan telefon bersama Menteri Kanan Koordinasi Untuk Keselamatan Singapura, Teo Chee Hean bagi membincangkan perkara-perkara yang saya nyatakan tadi,” jelasnya.