36 tahun kahwin, Tok Batin baru ada sijil perkahwinan

Hashim (dua,kiri) dan isterinya, Bedah (kiri) menerima sijil perkahwinan mereka yang sah daripada JPN yang disampaikan oleh Mohammad Razin di Pejabat JPN Rompin di sini.
Hashim (dua,kiri) dan isterinya, Bedah (kiri) menerima sijil perkahwinan mereka yang sah daripada JPN yang disampaikan oleh Mohammad Razin di Pejabat JPN Rompin di sini.
A
A
A

ROMPIN - Pasangan orang asli Hashim Shahrin dan isterinya Bedah Gong terharu akhirnya memiliki sijil perkahwinan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Walaupun sudah 36 tahun mendirikan rumah tangga bersama pasangannya yang berusia 54 tahun itu hanya memiliki sijil perkahwinan adat yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mengiktiraf perkahwinan mereka pada Jun 1983.

Hashim berkata, dia dan isteri terdetik untuk memohon sijil perkahwinan JPN selepas mengetahui kepentingan dokumen itu terutama dalam memohon bantuan kerajaan.

“Saya isi borang pada Selasa lalu selepas mengetahui pentingnya sijil perkahwinan ini untuk mohon bantuan kerajaan dan perkara lain.

"Selepas isi borang dan kemukakan dokumen yang diperlukan JPN akhirnya sijil kahwin saya dan isteri siap," katanya.

Hashim berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penyerahan sijil perkahwinan kepada enam pasangan Orang Asli yang disempurnakan Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah, di Pejabat JPN Rompin di sini.

Ceritanya lagi, sijil perkahwinan rasmi dikeluarkan JPN itu membuatkan dia memohon segala bentuk bantuan kerajaan pusat dan negeri yang selama ini sukar diperoleh kerana selama ini tidak memiliki sijil perkahwinan.

Hashim yang juga Tok Batin masyarakat Orang Asli Kampung Sebayan berkata, dirinya juga bersyukur kerana timbul kesedaran di kalangan masyarakat orang asli yang kini telah ramai memohon untuk memiliki sijil tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ramai kawan-kawan saya daripada kalangan orang asli suku Jakun sudah pun memohon untuk memiliki sijil perkahwinan dikeluarkan JPN.

“Hanya perlu kemukakan dokumen perkahwinan disahkan JAKOA, isi borang, sertakan salinan kad pengenalan dan salinan surat beranak anak jika ada. Selepas itu bayar RM5, dalam tempoh beberapa hari sudah siap seperti yang saya buat sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Razin berkata, sijil perkahwinan dikeluarkan JPN dilakukan di bawah Ordinan Pendaftaran Perkahwinan 1952.

Seramai 1,824 pasangan orang asli mendaftar untuk memperoleh sijil perkahwinan sejak 2018 dengan 1,054 didaftarkan di Pahang.

"Kita mendapati Pekan mencatatkan rekod pendaftaran paling tinggi iaitu 670 pasangan pada 2018 berbanding 393 pasangan pada tahun 2017 dan hanya pada bulan Januari tahun ini telah mencatat 244 pasangan yang mendaftar.

"Kita lihat ini satu perkembangan baik kerana terdapat trend peningkatan di mana telah timbul kesedaran untuk mereka mendapatkan sijil perkahwinan yang dikeluarkan oleh JPN untuk mereka mendapat beberapa kemudahan yang di sediakan kerajaan," katanya.

Beliau turut menyeru agar ramai lagi di kalangan orang asli mendaftar perkahwinan secara sah di bawah ordinan perkahwinan bukan sahaja tujuan dapat bantuan tetapi untuk tujuan rekod supaya ia sah untuk kebaikan orang asli.