Covid-19: 75 anak yatim akan dibantu kerajaan Pahang

Syed Ibrahim Syed Ahmad
Syed Ibrahim Syed Ahmad
A
A
A

KUANTAN - Seramai 75 anak yatim yang kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19 dijangka menerima bantuan daripada kerajaan Pahang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihaknya sudah mengarahkan Yayasan Pahang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan kajian terperinci sebelum memuktamadkan bantuan kepada kesemua 75 anak yatim itu.

"Kerajaan Pahang akan cuba membantu. Kebanyakan murid dan pelajar ini perlu diberikan bantuan sewajarnya bagi memastikan mereka dapat meneruskan persekolahan seperti biasa.

"Kita jangka antara bentuk bantuan dicadangkan ialah biasiswa atau dermasiswa dari Yayasan (Pahang), selain bantuan kewangan bulanan dari JKM.

"Perkara ini diberi keutamaan oleh kerajaan Pahang dan kita pun baru memperoleh senarai (nama) mereka, jadi kita akan segerakan (bantuan) selepas kajian selesai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan operasi Pejabat Agama Islam Pahang Barat, di sini pada Rabu.

Sementara itu ketika mengulas mengenai operasi pejabat agama, Syed Ibrahim berkata, kini terdapat dua pejabat agama di daerah Kuantan.

Katanya, inisiatif ini merupakan idea Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta supaya pentadbiran pejabat agama diperluaskan kerana jumlah penduduk yang semakin bertambah.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, adanya pejabat baharu ini akan memudahkan pelanggan-pelanggan mendapatkan khidmat dalam urusan keagamaan.

"Kita sudah melantik kadi iaitu Badaruddin Ahmad Bustami bersama tujuh kakitangan bagi mengendalikan pentadbiran di pejabat itu.

"Skop perkhidmatan yang akan diberikan membabitkan pengurusan nikah, cerai dan rujukan, pengurusan masjid, surau dan tanah perkuburan, pengurusan kelas al-Quran, Fardu Ain (Kafa) dan guru al-Quran, asrama dan penguatkuasaan kesalahan jenayah syariah," ujarnya.