JDT rai kejuaraan Liga Super bersama penyokong 12 September

Pemain JDT meraikan kemenangan Liga Super kali ke-8 berturut-turut selepas berjaya mengalahkan pasukan Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 27 Ogos lepas. - Foto Bernama
Pemain JDT meraikan kemenangan Liga Super kali ke-8 berturut-turut selepas berjaya mengalahkan pasukan Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 27 Ogos lepas. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) akan mengadakan program meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan itu merangkul kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut, bersama penyokong pada 12 September ini.

JDT menerusi hantaran dalam laman Facebook Johor Southern Tigers menyatakan, pada program itu penyokong Harimau Selatan akan disajikan dengan pertunjukan bunga api dan ‘in-car viewing party’.

“Sambutan tersebut - persembahan piala, pertunjukan khas dan bunga api - akan bermula selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur,” menurut hantaran itu pada Rabu.

Hantaran itu turut menyatakan JDT pada masa ini sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kebangsaan, untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai program itu.

“SOP berkenaan termasuk mengenai kemasukan penyokong ke tempat letak kereta dan susun atur acara. Nantikan pengumuman selanjutnya,” seperti dinyatakan dalam hantaran tersebut.

Pada 27 Ogos lepas, jaringan hatrik penyerang import prolifik Bergson da Silva mengesahkan kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut buat JDT, selepas membenam Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Kemenangan ke-16 dicatat JDT selepas 20 perlawanan kempen musim 2021 itu, meletakkan skuad Harimau Selatan 14 mata di hadapan Terengganu FC di kedudukan kedua, sekali gus menamatkan saingan perebutan takhta lebih awal dengan berbaki dua aksi liga.

JDT akan bertemu Terengganu FC pada 4 September ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu sebelum perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur United FC pada 12 September di Stadium Sultan Ibrahim. - Bernama

Artikel Berkaitan: