Aktiviti perniagaan perlahan separuh pertama 2021: Kaji selidik

Aktiviti perniagaan bagi separuh kedua 2021 dijangka kekal perlahan seperti dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. - Foto Bernama
Aktiviti perniagaan bagi separuh kedua 2021 dijangka kekal perlahan seperti dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti perniagaan mencatatkan pertumbuhan perlahan yang ketara pada separuh pertama 2021 apabila sekatan pergerakan Covid-19 yang ketat telah memberikan lagi tekanan ke atas sektor pembuatan, demikian menurut satu kaji selidik dwitahunan industri.

Menerusi dapatan kaji selidik keadaan perniagaan yang dijalankan bersama oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), lebih separuh (54 peratus) daripada 687 responden di seluruh negara melaporkan penurunan aktiviti perniagaan mereka semasa tempoh tersebut, meningkat daripada 37 peratus pada separuh kedua 2020.

“Indeks aktiviti perniagaan menjunam di bawah ambang optimis kepada 65, turun 36 mata daripada separuh kedua 2020,” kata Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan.

Kecuali kos pengeluaran, semua petunjuk semasa menunjukkan bacaan rendah berbanding separuh kedua 2020, membayangkan separuh pertama 2021 merupakan tempoh yang amat mencabar bagi pengilang.

Thian Lai berkata, keadaan ini dijangka berterusan sehingga tempoh berbaki tahun ini.

Aktiviti perniagaan bagi separuh kedua 2021 dijangka kekal perlahan seperti dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Indeks bagi jangkaan aktiviti perniagaan turun kepada 60 mata daripada 87 mata sebelumnya dengan 55 peratus daripada responden menjangkakan perniagaan mereka turut sama perlahan bagi tempoh berbaki tahun ini manakala 50 peratus positif perniagaan mereka akan meningkat tidak lama lagi,” katanya.

Fasa Satu dan Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan/atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang mengehadkan operasi perniagaan, menjejaskan 48 peratus responden dalam sektor penting meskipun dibenarkan beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, disebabkan sekatan itu, 44 peratus responden berpendapat perniagaan mereka hanya boleh bertahan bagi tempoh satu hingga enam bulan.

Sekatan pergerakan penuh sejak 12 Mei juga telah menyebabkan 55 peratus responden berdepan tempahan mereka dibatalkan kerana tidak dapat untuk membuat serahan dan 40 peratus kontrak tempahan mereka bagi separuh kedua 2021 disemak semula.

Beliau berkata, kebanyakan responden berpandangan strategi keluar paling efektif daripada pandemik adalah dengan memastikan semua pekerja mendapat vaksinasi lengkap termasuk suntikan penggalak pada 2022 dan mewajibkan semua kakitangan baharu disuntik vaksin sebelum mula bekerja.

Dari segi pekerjaan, Thian Lai berkata, kaji selidik itu mendapati bahawa 56 peratus daripada responden mengurangkan kos tenaga kerja dengan membekukan jumlah pekerja, menghapuskan elaun dan manfaat bukan kontrak, mengurangkan hari/minggu bekerja, meminta pekerja mengambil cuti tahunan dan melarang kerja sambilan/penyumberan luar.

Mengenai prospek pengilang bagi separuh kedua 2021, Thian Lai berkata, meskipun kos pengeluaran dijangka meningkat lebih tinggi, semua petunjuk lain mencatatkan bacaaan di bawah pembatasan tahap keyakinan, menunjukkan prospek suram bagi sektor pembuatan pda bulan-bulan yang akan datang. - Bernama