Semenyih BN punya!

Zakaria diumumkan menang bagi PRK DUN Semenyih dengan majoriti 1,914 undi. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM/ZAHID IZZANI
Zakaria diumumkan menang bagi PRK DUN Semenyih dengan majoriti 1,914 undi. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM/ZAHID IZZANI
A
A
A

SEMENYIH - [DIKEMASKINI] BN berjaya merampas kerusi DUN Semenyih daripada PH selepas calon mereka, Zakaria Hanafi menang dengan majoriti 1,914 undi, menewaskan tiga lawannya dalam PRK DUN Semenyih.

Zakaria memperoleh 19,780 manakala Muhammad Aiman Zainali (PH) mendapat 17,866; Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia (PSM)) pula memperoleh 847 undi dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 725 undi.

Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Semenyih, Datuk Mohd Sayuthi Bakar pada jam 9.20 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan kini PH memiliki 50 kerusi DUN Selangor manakala kerusi pembangkang meningkat kepada enam kerusi DUN.

No Image Caption

Zakaria ketika ditemui selepas pengumuman mengungkapkan rasa syukur dengan kemenangan tersebut dan berterima kasih kepada semua yang mengundinya.

“Dipilih sebagai ADUN Semenyih, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada pengundi Semenyih yang beri kepercayaan kepada saya untuk jadi wakil rakyat.

“Terima kasih atas kebijaksanaan pengundi memilih saya untuk mewakili anda semua,” katanya dalam sidang media di Dewan Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, di sini, malam ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kemenangan BN di kerusi DUN Semenyih sebagai sesuatu yang cukup manis.

No Image Caption

Ini kerana katanya, kemenangan itu jelas membuktikan bahawa kerjasama Pas-UMNO semakin diterima oleh rakyat.

"Saya dan semua rakan-rakan berasa amat bersyukur kepada ALLAH di atas keputusan PRK Semenyih ini telah pun memihak kepada BN.

"Kita tahu PRU14 lalu kalah lebih 8000, ini merupakan satu keputusan yang amat manis bagi kami setelah kita berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands," katanya kepada pemberita dalam sidang media sama.

Dalam pada itu, Mohamad juga menegaskan bahawa kemenangan ini juga sebagai satu referendum rakyat untuk menyatakan bahawa rakyat kesal dan tidak puas hati di atas prestasi PH setakat ini.

"Ini terutamanya berkenaan janji yang ditaburkan yang melenakan pengundi semasa PRU14," katanya.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui fenomena 'bossku' membantu kemenangan BN pada PRK DUN Semenyih.

Najib berkata, fenomena itu terjadi secara organik.

No Image Caption

"Ia tidak dirancang serta bukan pengarahan yang kita lakukan, tetapi ia terbit dari hati nurani rakyat khususnya generasi muda.

"Ini merupakan satu simbol bahawa hasrat orang muda yang ingin perjuangkan, apa yang dekat di hati mereka, kita anggap ia satu kepentingan," katanya.

PRK DUN Semenyih diadakan apabila wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Pada PRU14, 9 Mei lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya Datuk Johan Abdul Aziz (BN); Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

No Image Caption

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Hulu Langat itu mengalahkan Johan, wakil rakyat dua penggal DUN Semenyih, dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK DUN Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU14.

Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK DUN iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.