Keputusan nyah warta HSKLU lalui proses teliti

Pelan nyah warta HSKLU
Pelan nyah warta HSKLU
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) telah melalui proses yang begitu teliti oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam selaras dengan Kaedah-Kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014.

Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid berkata, proses penyiasatan awam telah berlangsung selama lebih setahun sejak keputusan berkenaan cadangan penyahwartaan HSKLU ini diterima pada November 2019.

Menurutnya, kesemua bantahan yang diterima telah dikumpulkan dan diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor untuk pertimbangan lanjut.

"Selain itu, hasil kajian pakar perunding yang dilantik oleh kerajaan negeri iaitu UPM Consultancy & Services Sdn Bhd pada tahun 2020 turut digunakan dalam pertimbangan penyahwartaan HSKLU.

"Berdasarkan kajian perunding tersebut, didapati nilai biodiversiti HSKLU dan kawasan-kawasan gantian adalah hampir sama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Fadzil berkata, melalui MMKN ke-17 pada 5 Mei 2021 yang disahkan oleh MMKN ke-18 pada 19 Mei 2021, hanya seluas 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU ini diluluskan untuk dinyahwarta di bawah Seksyen 11 dan 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Beliau menjelaskan, berdasarkan keputusan MMKN yang sama, seluas 581.48 hektar telah diluluskan sebagai kawasan gantian Hutan Simpan Kekal (HSK) melibatkan PT4182 Sungai Panjang, Sabak Bernam seluas 308.62 hektar, Ampang Pechah, Hulu Selangor (208.98 hektar) dan Bukit Broga, Hulu Langat seluas (63.88 hektar).

Selain itu katanya, kerajaan Selangor masih mengekalkan kira-kira 46 peratus daripada kawasan HSKLU sebagai HSK.

Artikel Berkaitan:

Keadaan HSKLU yang mengalami tekanan pembangunan antara faktfor nyah warta diluluskan dan digantikan HSK baharu.
Keadaan HSKLU yang mengalami tekanan pembangunan antara faktfor nyah warta diluluskan dan digantikan HSK baharu.

"Kawasan gantian bagi HSKLU yang dinyahwarta ini terdiri hutan jenis paya gambut di Sungai Panjang yang sama jenis hutan dengan HSKLU. Manakala kawasan gantian di Ampang Pechah dan Bukit Broga terdiri daripada jenis hutan bukit.

"Kawasan gantian Ampang Pechah mempunyai kepentingan koridor rangkaian ekologi hidupan liar dikenali sebagai Central Forest Spine (CFS) sepertimana ditetapkan di dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-3.

"Sementara kawasan Bukit Broga mempunyai nilai-nilai ekopelancongan yang amat tinggi dan merupakan antara tarikan kawasan pendakian utama di Selangor," katanya.

Katanya, MMKN juga telah meluluskan sebahagian kawasan untuk penggantian baki Rizab Orang Asli Busut Baru iaitu seluas 42.1 hektar di bawah Seksyen 7, Akta Orang Asli 1954.

"Justeru, isu tuntutan perizaban kawasan Orang Asli Busut Baru seluas kira-kura 1,000 ekar sebagai penggantian kawasan disebabkan pembinaan Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak tahun 2006 dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata, HSKLU merupakan hutan yang telah terpisah (isolated) daripada kompleks hutan utama dan mengalami tekanan pembangunan tanah tepu bina di sekelilingnya seperti Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Bandar Saujana Putra dan Gamuda Cove.

Katanya, HSKLU juga telah diklasifikasikan sebagai kawasan yang berisiko tinggi untuk terbakar oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada tahun 2016 dan mengalami kemerosotan (degradation) akibat beberapa kali terbakar pada tahun 2012, 2013, 2014, 2017 dan 2021.

"Kerajaan Selangor telah mengenakan beberapa syarat kepada pemaju Gabungan Indah Sdn Bhd yang telah diluluskan pemberi milikan di kawasan nyah warta HSKLU pada tahun 2021.

"Antaranya adalah keperluan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan lain-lain syarat yang berkaitan termasuklah pengekalan sebanyak 20 peratus daripada kawasan pembangunannya sebagai kawasan hijau serta keperluan translokasi spesies-spesies flora dan fauna yang berkepentingan," katanya.

Justeru itu Ahmad Fadzil berkata, kerajaan negeri telah mengambil kira kesemua aspek (due diligence) dalam membuat keputusan yang terbaik berkaitan penyahwartaan HSKLU.

Tambahnya, keputusan itu selaras dengan matlamat pembangunan negeri Selangor ke arah kestabilan sosio ekonomi, dinamik, mampan dan lestari.

Beliau memaklumkan, cadangan menyahwarta HSKLU ini diterima pihaknya daripada Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat pada 14 November 2019 susulan satu keputusan pemberi milikan tanah melibatkan HSKLU seluas 991.90 hektar yang diperoleh melalui MMKN Ke-30 bertarikh 16 Oktober 2019.

Berdasarkan Seksyen 11, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2011), Pihak Berkuasa Negeri (PBN) boleh menyahwarta kawasan hutan simpanan kekal sekiranya kawasan itu diperlukan

bagi kegunaan ekonomi yang lebih tinggi daripada kegunaan masa kini dengan syarat melalui penyiasatan awam (publicinquiry) terlebih dahulu.

Berdasarkan Seksyen 12, Enakmen yang sama, menyatakan keperluan untuk menggantikan kawasan HSK yang dinyahwarta dengan kawasan yang hampir sama atau lebih baik dari segi ekologi dan keluasan.