'Malaysia Street' simbolik kukuhkan hubungan Malaysia-Gaza

Kotak bantuan makanan infaq Ramadan 2021 yang disalurkan melalui Mapim antara tradisi menghulurkan sumbangan kepada masyarakat Palestin setiap tahun.
Kotak bantuan makanan infaq Ramadan 2021 yang disalurkan melalui Mapim antara tradisi menghulurkan sumbangan kepada masyarakat Palestin setiap tahun.
A
A
A

ALOR SETAR - Perbandaran Gaza yang menamakan salah satu jalan di wilayah itu sebagai ‘Malaysia Street’ merupakan simbolik untuk memperkukuh persaudaraan dan hubungan Islam antara Malaysia dan Gaza, khususnya Palestin.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia juga memberi isyarat untuk kedua-dua negara mempertingkat hubungan kemanusiaan dalam membantu rakyat Palestin yang tertindas di bumi sendiri.

Menurutnya, kemerdekaan Malaysia yang dicapai selepas dijajah oleh Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris, dijadikan inspirasi rakyat Palestin untuk memahami erti perjuangan bagi membebaskan diri daripada penjajahan.

"Inilah sebab asas mengapa rakyat kita menolak sepenuhnya pendudukan Israel di Palestin.

"Rakyat negara itu akan sentiasa tabah dan berazam untuk terus menentang penjajahan Israel dengan menjadikan pengalaman Malaysia sebagai inspirasi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Azmi berkata, pihaknya percaya keadaan di Palestin boleh diubah, namun perlukan keyakinan tinggi dan sokongan semua pihak.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

Artikel Berkaitan:

"Kami yakin Palestin dan Baitul Maqdis yang bebas akan dicapai tidak lama lagi, Insya-ALLAH. Dengan semangat merdeka, kami doakan Gaza dan seluruh Palestin dibebaskan untuk sebuah negara yang bermaruah dan berdaulat," kata beliau.

Mapim turut mengucapkan penghargaan kepada Perbandaran Gaza yang telah menjalin ikatan persaudaraan erat dengan Malaysia apabila menamakan jalan 'Malaysia Street' berhampiran bulatan Ansar di sebelah barat Gaza sempena Hari Kebangsaan Malaysia Ke-64 pada Selasa.

Mapim merupakan sebuah gabungan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan aspirasi Islam dan Malaysia, khususnya dalam isu rakyat Palestin.

Mapim antara yang aktif membantu rakyat Palestin dengan menyalurkan misi kemanusiaan dari segi kewangan, makanan serta bantuan sokongan motivasi kepada rakyat Palestin.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaza namakan ‘Malaysia Street’ sempena peringati kemerdekaan