Tiada isu tolak vaksin Briged Kelapan Infantri Malaysia

Abu Hassan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kotak makanan secara pandu lalu kepada veteran ATM di bawah program Mindef Prihatin anjuran JHEV Kelantan.
Abu Hassan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kotak makanan secara pandu lalu kepada veteran ATM di bawah program Mindef Prihatin anjuran JHEV Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada isu tolak vaksin yang dilapor melibatkan anggota Briged Kelapan Infantri Malaysia, kata Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha'ari Kamis @ Shaffiee.

Menurut beliau, perkara tersebut tidak menjadi isu kerana ia telah termaktub dalam peraturan.

"Ini kerana anggota tentera diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha mencegah penularan jangkitan tersebut.

"Namun jika ada yang menolak untuk berbuat demikian (tidak ambil vaksin), bermakna dia telah ingkar kepada arahan pihak atasan," katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas isu anggota tentera yang menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 baru-baru ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan kotak makanan secara pandu lalu kepada veteran ATM di bawah program Mindef Prihatin anjuran Jabatan Hal Ehwal Vateran (JHEV) Kelantan.

Abu Hasan berkata, sebagai anggota tentera mereka perlu patuh kepada setiap arahan yang diberikan oleh pucuk tertinggi.

Beliau berkata, pengambilan vaksin dilihat sebagai satu kewajiban kerana penugasan anggota tentera mempunyai hubung kait dengan masyarakat sekitar.

"Setakat ini, tiada sebarang isu vaksin melibatkan anggota Briged Kelapan Infantri Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhan isu itu tidak menjejaskan kredibiliti pasukan tentera darat," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penugasan di sempadan Malaysia-Thailand menerusi Op Merpati dan Wawasan, Abu Hassan berkata, kawalan tetap diperketatkan seperti biasa sepanjang pandemik yang melanda negara ketika ini.

"Ia melibatkan kawalan jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mencegah penularan Covid-19," katanya.