Didakwa ada tunggakan cukai LHDN, suri rumah lesap RM35,300

Suri rumah kerugian RM35,300 selepas terjerat dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis bulan lepas. Foto hiasan. Gambar Kecil : Aidi Sham
Suri rumah kerugian RM35,300 selepas terjerat dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis bulan lepas. Foto hiasan. Gambar Kecil : Aidi Sham
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang suri rumahkerugian RM35,300 selepas terjerat dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis bulan lepas.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa berusia 53 tahun menerima panggilan seorang lelaki mendakwa daripada LHDN pada 10 Ogos lepas memaklumkan terdapat tunggakan cukai syarikat yang beralamat di Kedah yang didaftarkan atas nama mangsa.

"Mangsa menafikannya dan panggilan disambungkan kepada Tuan Sulaiman dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah yang memaklumkan bahawa terdapat kebocoran maklumat mengenai akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) milik mangsa dan telah disalahguna pihak lain.

''Mangsa kemudian diminta untuk menyerahkan maklumat nombor pada kad ATM Bank Islam miliknya dan memasukkan wang ke dalam sebuah akaun untuk tujuan siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mangsa jelas beliau, melakukan tiga transaksi pada 12 hingga 13 Ogos lepas dan semakan akaun mendapati wang di dalam akaun juga telah dipindahkan kepada satu akaun lain.

"Ia menyebabkan mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM35,300 iaitu wang simpanan mangsa dan arwah suami. Menyedari dirinya ditipu satu laporan polis telah dibuat pada 24 Ogos lepas.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, Aidi Sham berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai panggilan-panggilan yang memaklumkan mereka sebagai badan penguatkuasa atau institusi kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Elakkan memdedahkan butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.