Pekerja Nepal maut terjatuh ketika petik rambutan

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

JOHOR BAHRU - Gara-gara ingin memetik buah rambutan, seorang pekerja kilang pembuatan maut selepas terjatuh dari bumbung gudang kilangnya di Jalan Johor dekat Pontian, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Johor Husdin Che Amat berkata, lelaki warganegara Nepal berusia 41 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 10.15 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu ditugaskan ke gudang kilang tersebut bersama rakan sekerjanya untuk mengambil sampel produk namun dia memaklumkan mahu memetik rambutan berhampiran gudang sebelum menaiki bumbung menggunakan tangga aluminium mudah alih seorang diri.

“Kepingan bumbung lut sinar yang terkopak dan pecah (kesan jatuh) masih berada di bumbung pada ketinggian 30 kaki (9.14 meter) dari lantai mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Husdin berkata, pihaknya telah mengarahkan majikan pekerja itu untuk menjalankan siasatan dalaman serta melantik pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja selain mengemukakan surat tunjuk sebab atas kegagalan melaporkan kemalangan dalam tempoh 24 jam.

Katanya, lokasi kejadian turut disita pihaknya sehingga siasatan lengkap dijalankan dan tindakan perundangan hanya akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. - Bernama

Artikel Berkaitan: