Isu tunggakan gaji pemain import Perak FC selesai

Azman Noh
Azman Noh
A
A
A

ISU tuntutan bayaran tunggakan gaji bekas pemain-pemain import Perak FC selesai.

Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh berkata, pengurusan itu telah menyelesaikan tuntutan pemain dari Korea Selatan, Jeon Hyo Seok secara ansuran dengan bayaran pendahuluan dibuat baru-baru ini.

Menurutnya, tuntutan dua bekas pemain dari Brazil, Leandro Dos Santos dan Rainderson Da Costa untuk gaji Mei dan Jun juga telah dibayar sebelum 31 Ogos lepas.

"Sementara itu, tuntutan ejen kepada Leandro, Raianderson dan seorang lagi pemain dari negara sama, Guilherme de Paula pula akan dibuat secara ansuran mulai bulan hadapan selepas Perak FC berunding dengan ketiga-tiga ejen pemain berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau turut memaklumkan bahawa gaji bagi semua pemain-pemain Perak FC juga telah diselesaikan dan tiada sebarang tunggakan lagi berkenaan isu berkenaan.

Katanya, masalah berkaitan tuntutan itu perlu diselesaikan kerana ia berkaitan dengan lesen kelab.

"Kegagalan membuat penyelesaian akan menyebabkan Perak FC tidak diberi lesen untuk menyertai Liga Super pada tahun hadapan.

"Isu-isu berkaitan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso juga perlu dikemaskini dan Perak FC sudah membuat perbincangan dengan agensi-agensi berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azman turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang membantu dalam isu berkenaan.

"Terima kasih kerana banyak membantu Perak FC dalam mencari sumber kewangan bagi menyelesaikan segala tuntutan itu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, usaha Perak FC untuk mendapatkan kembali khidmat Leandro dan Rainderson bagi mengharungi baki saingan Liga Super pada musim ini, tidak kesampaian apabila kedua-dua pemain nekad meninggalkan pasukan itu.

Dua pemain tengah itu meninggalkan pasukan melalui surat penamatan kontrak yang dihantar kepada pihak pengurusan kelab pada 26 Julai lalu berikutan tunggakan gaji yang masih belum dilunaskan oleh Perak FC.