RMK12, Belanjawan Pembangunan fokus utama kerajaan

Mustapa (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas di Jabatan Perdana Menteri pada Rabu.
Mustapa (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas di Jabatan Perdana Menteri pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Belanjawan Pembangunan 2022 akan diberi tumpuan dalam 100 hari pertama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, ini kerana ia merupakan arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pihaknya akur dengan arahan tersebut.

“Saya nak tekankan RMK12 kalau mengikut perancangan sebelum ini 20 September, sekarang sudah ditunda kepada 27 September.

“Itu merupakan fokus utama yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas di Jabatan Perdana Menteri pada Rabu.

Ismail Sabri sebelum ini mahu setiap kementerian membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Katanya, barisan kabinet perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, fokus utama RMK12 itu termasuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri dan kawasan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita ada enam negeri yang telah dikenal pasti sebagai negeri-negeri yang terkebelakang termasuk Sabah dan Sarawak.

“Jadi tumpuan utama perancangan jangka sederhana dan jangka panjang ialah merapatkan jurang pembangunan,” katanya.

Menurutnya, pandemik ini turut memberi kesan yang meluas kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Bukan sahaja B40 tetapi M40 dan T20. Kesemuanya terkesan. Salah satu perkara yang perlu kami tangani ialah jurang pendapatan dan jurang pembangunan antara negeri-negeri.

“Yang kedua ialah untuk kami pastikan keperluan asas dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Belanjawan Pembangunan 2022 terbabit akan dimuktamadkan bersama-sama Kementerian Kewangan.

Menurutnya, Belanjawan Pembangunan diurus oleh Unit Perancangan Ekonomi.

“Ini perlu dimuktamadkan secepat mungkin kerana kami perlu memberi input bagi Belanjawan 2022,” jelasnya.