Jangan pandang enteng lawan

Rashid (dua dari kiri) bersama dua anak buahnya Didin (kiri) dan Liek Hou (kanan) yang menggalas cabaran Malaysia dalam acara badminton Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Rashid (dua dari kiri) bersama dua anak buahnya Didin (kiri) dan Liek Hou (kanan) yang menggalas cabaran Malaysia dalam acara badminton Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
A
A
A

JURULATIH badminton para negara, Datuk Rashid Sidek mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah keupayaan lawan, sebaliknya membuka buku baharu masing-masing sebaik tirai saingan badminton Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menyingkap tirai pada Rabu.

Menurut Rashid, biarpun Cheah Liek Hou dan Didin Taresoh bakal berdepan laluan getir, namun beliau percaya pengalaman dan kemahiran taktikal kedua-dua pemain tersebut akan menjadi pemisah apabila menentang lawan masing-masing.

“Bagi Liek Hou, saya melihat laluannya pada kali ini agak mudah untuk ke semi final sebagai juara kumpulan, namun saya berharap beliau memanfaatkan sepenuhnya aksi peringkat kumpulan untuk membina keyakinan sebelum ke pusingan seterusnya.

“Apa pun biarpun pernah menewaskan Imai dan Jen Yu sebelum ini, saya berharap Liek Hou tidak memandang rendah keupayaan lawan sebaliknya fokus satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Untuk rekod, dalam undian sebelum ini menyaksikan Liek Hou yang merupakan pilihan kedua diundi bersama pemain Jepun, Taiyo Imai, Fang Jen Yu (Taiwan) dan Ahmed Eldakrory (Mesir) dalam Kumpulan B acara perseorangan lelaki Kategori SU5.

Sementara itu, Didin pula dijangka berdepan cabaran sengit selepas diundi dalam Kumpulan B acara perseorangan lelaki kategori SH6 bersama pemain dari India, Krishna Nagar dan Vitor Gonzalves Tavarez (Brazil).

Mengulas mengenai saingan Didin pula, Rashid mengakui lawan anak buahnya itu merupakan nama besar dalam kalangan pencabar utama temasya sukan terbesar dunia berkenaan.

“Cumanya Didin perlu bekerja lebih keras selain memberikan persembahan terbaik untuk menewaskan Krishna dan Tavarez yang kini berada pada prestasi terbaik masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya Didin mempunyai keazaman yang tinggi untuk membuka buku baharu bagi mencipta kejutan ke atas Krishna dan Tavarez bersandarkan pengalaman dan permainan taktikalnya,” katanya.