Sila log masuk terlebih dahulu.

Proses pembersihan, rawatan loji ambil masa 14 jam

Laporan Sinar Harian mengenai gangguan bekalan air di lima wilayah di Selangor pada Selasa.
Laporan Sinar Harian mengenai gangguan bekalan air di lima wilayah di Selangor pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas berikutan pencemaran bau kembali beroperasi selepas mencatatkan bacaan tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut.

Air Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, bagaimanapun proses pembersihan sistem rawatan air perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum memulakan proses rawatan air agar air terawat dapat diagihkan kepada pengguna.

Menurut kenyataan itu, proses pembersihan dan rawatan air di loji akan mengambil masa kira-kira 14 jam.

"Sehubungan dengan itu, Air Selangor akan berkongsi pelan pemulihan bagi kawasan-kawasan yang terjejas dalam siaran media kami pada jam 7 pagi esok (Rabu)," kata kenyataan itu menerusi aplikasi Air Selangor pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan bekalan air: 323,623 akaun pengguna terjejas

Loji Rawatan Sungai Semenyih dihentikan akibat pencemaran bau

Kenyataan itu menjelaskan, bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas, Air Selangor telah mengaktifkan pelan mitigasi dengan mengagihkan bekalan air alternatif daripada LRA Langat 2 dan LRA Labohan Dagang ke sebahagian kawasan di Wilayah Hulu Langat dan Kuala Langat.

"Pengguna di kawasan Kajang Baru, Kajang, Semenyih dan Beranang di Wilayah Hulu Langat serta Jenjarom, Teluk Panglima Garang dan Pulau Carey di Wilayah Kuala Langat akan menerima bekalan air alternatif secara berkala.

Artikel Berkaitan:

"Air Selangor telah menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan kepada pengguna dan premis kritikal yang terlibat," ujarnya.

Jelas kenyataan itu, sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Senarai kawasan yang terjejas boleh dapati di http://tinyurl.com/ais-erp-02," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, sebanyak 323,623 akaun di lima wilayah di negeri ini mengalami gangguan bekalan air berikutan henti tugas LRA Sungai Semenyih akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Menerusi aplikasi Air Selangor memaklumkan, lima daerah terjejas itu ialah Petaling membabitkan sebanyak 160,946 akaun, Hulu Langat (29,377), Sepang (75, 869), Putrajaya (33,352) dan Kuala Langat (24,079).