Kekalahan Amerika, pengajaran buat dunia

Anggota Taliban ketika menghadiri sidang media di lapangan terbang di Kabul sewaktu meraikan kemenangan mereka pada Selasa. - Foto AFP
Anggota Taliban ketika menghadiri sidang media di lapangan terbang di Kabul sewaktu meraikan kemenangan mereka pada Selasa. - Foto AFP
A
A
A

KABUL - Kekalahan Amerika adalah pengajaran besar buat penjajah lain dan generasi akan datang.

Kenyataan itu dikeluarkan Taliban pada Selasa beberapa jam selepas kumpulan terakhir tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan ibu kota Afghanistan sekali gus menamatkan perang paling lama yang berlarutan selama dua dekad di negara itu.

"Ia juga boleh menjadi pengajaran buat dunia," kata jurucakap gerakan itu, Zabihullah Mujahid ketika meraikan kemenangan Taliban yang kini kembali memegang kuasa penuh di Afghanistan yang turut disambut dengan bunyi tembakan, bunga api dan sorakan anggota mereka.

Mujahid juga cuba meredakan kebimbangan ramai terhadap corak pemerintahan gerakan itu dengan menyatakan pasukan keselamatan Taliban akan menggunakan pendekatan 'lebih lembut' berbanding sebelum ini.

Sementara itu, seorang pemimpin kanan gerakan tersebut menyifatkan Taliban telah mencipta sejarah.

"Kita cipta sejarah lagi. Pendudukan AS selama dua dekad dan pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sudah berakhir.

"Saya berasa sangat gembira kerana perjuangan kita selama ini tidak sia-sia kerana dapat mengecapi detik bersejarah ini," ujar Anas Haqqani menerusi Twitter.

Ketika ini, Taliban turut menamatkan kesemua pusat pemeriksaan di jalan menuju ke lapangan terbang itu selepas operasi pemindahan berakhir.

Artikel Berkaitan:

Menjelang pengunduran pasukan terakhir tentera AS, sejumlah pesawat, kenderaan perisai, dan sistem pertahanan roket berteknologi tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul dilumpuhkan sebelum ia meninggalkan negara itu pada Isnin.

Ketua Pusat Perintah AS, Jeneral Kenneth McKenzie berkata, kira-kira 73 pesawat sedia ada di kemudahan itu telah 'bebas keupayaan ketenteraan' dan tidak boleh digunakan lagi.

"Kesemua pesawat itu tidak boleh terbang dan tidak dapat dikendalikan oleh sesiapa pun. Sebahagian besarnya tidak mempunyai kemampuan untuk menyertai sebarang misi," tegasnya.

Difahamkan, antara kenderaan yang ditinggalkan, namun tidak lagi boleh digunakan termasuk 70 kenderaan perisai taktikal MRAP yang nilainya mencecah AS$1 juta (RM4.16 juta) setiap satu, 27 humvee dan sistem C-RAM untuk melindungi daripada serangan roket. - AFP