Eksplorasi Keluarga Maya semai semangat cintakan negara

Majlis penutup program Eksplorasi Keluarga Maya Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 disempurnakan Khalid secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom pada Selasa.
Majlis penutup program Eksplorasi Keluarga Maya Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 disempurnakan Khalid secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom pada Selasa.
A
A
A

BAGAN DATUK - Keterbatasan pergerakan tidak menghalang Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Bagan Datuk menganjurkan program Eksplorasi Keluarga Maya bagi menyemarak semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada Selasa.

Yang Dipertua GPMS Bagan Datuk, Ezatul Farita Rohawi berkata, program julung kali dianjurkan itu dilaksanakan dalam talian menggunakan aplikasi Zoom.

Menurut beliau, pertandingan yang berlangsung selama dua jam itu disertai 16 kumpulan dengan penyertaan keseluruhan seramai 63 orang.

"Sepanjang tempoh dua jam itu, setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan seperti menjawab kuiz berkaitan kemerdekaan, GPMS, membuat rakaman video tepuk sorak kemerdekaan dan eksplorasi menggunakan Google Street View.

"Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan menggalakkan berdasarkan penyertaan bukan sahaja di Bagan Datuk bahkan mereka yang berada di luar negeri Perak," katanya kepada Sinar Harian pada sidang akhbar secara maya pada Selasa.

Menurut beliau, penganjuran program tersebut sebagai usaha menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan belia.

Beliau berkata, setiap penyertaan disyaratkan mempunyai individu belia dalam setiap kumpulan walaupun penyertaan bersama keluarga.

Kumpulan yang menjadi juara menerima RM200 sebagai hadiah utama diikuti, tempat kedua sebanyak RM150 dan RM100 bagi tempat ketiga manakala peserta lain menerima hadiah saguhati.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ezatul Farita berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadikan program tersebut sebagai aktiviti tahunan sempena kemerdekaan berdasarkan kepada sambutan yang diberikan.

Majlis penutupan program tersebut disempurnakan Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Prof Dr Khalid Ismail dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bagan Datuk, Basharul Hafiz Saad.