MEDAC yakin negara mampu lahirkan 'bangsa usahawan'

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yakin negara mampu melahirkan ‘bangsa usahawan’ dan usaha ini dapat dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak selari cogan kata Keluarga Malaysia.

Menteri, Tan Sri Noh Omar berkata tumpuan kementerian akan lebih menjurus kepada usaha membantu serta menyelesaikan masalah yang dihadapi usahawan yang pada masa ini terjejas ekoran pandemik Covid-19, mereka yang kehilangan pekerjaan serta lepasan pengajian tinggi yang tiada pekerjaan.

“Sebagai menteri baru, saya akan berusaha bekerjasama dengan semua golongan yang terlibat dalam keusahawanan untuk usaha kita melahirkan ‘bangsa usahawan’.

“Saya yakin jika kita bekerjasama sebagai keluarga, selaras dengan cogan kata Keluarga Malaysia, kita boleh melahirkan satu bangsa usahawan,” katanya pada majlis ‘Voices of Malaysia’s SMEs’ secara dalam talian pada Selasa.

Majlis tersebut turut berkongsi beberapa rakaman video ucapan Hari Kebangsaan 2021 terutama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta menteri lain seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa menerusi rakaman video berkata, kerajaan akan terus berusaha menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi.

“Mari kita bina Keluarga Malaysia yang inklusif, bersama kita pulih dan bina semula ekonomi negara agar kemakmuran akan dinikmati semua,” katanya.

Acara ‘Voices of SMEs Malaysia’ dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) bersama-sama dengan Money Compass Media Sdn Bhd dan Yayasan Prihatin Nasional sempena e-Pameran PKS Merdeka 2021.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 200 pemilik perniagaan kecil dan sederhana (PKS), presiden dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan dijemput menyertai acara itu di samping meraikan Hari Kebangsaan 2021 bersama-sama kalangan PKS. - Bernama