Semangat Keluarga Malaysia cintakan negara dalam norma baharu: Halimah

Halimah Mohamed Sadique
Halimah Mohamed Sadique
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semangat Keluarga Malaysia yang cintakan tanah air kekal bersemarak meskipun ini tahun kedua negara meraikan Hari Kebangsaan dalam suasana norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique yakin ia kekal bersemarak seperti mana membaranya semangat negarawan mempertahan ibu pertiwi 64 tahun yang lalu.

"Bak kata pepatah, kuat berdirinya sebatang pohon kerana akarnya, begitulah jua sesebuah negara. Keluarga Malaysia adalah nadi negara, tanpa mengira agama mahupun bangsa," menurutnya dalam kenyataan sempena Hari Kebangsaan ke-64 pada Selasa.

Beliau juga berkata, semangat kesatuan dalam kepelbagaian antara rakyat Malaysia yang saling menghulur tangan dan berganding bahu terpapar di sebalik krisis Covid-19 yang amat menguji.

Katanya, meraikan semangat itu cukup bermakna ketika Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan.

Halimah memberitahu, perjuangan pahlawan dan srikandi demi memerdekakan Malaysia perlu disanjung dan dihargai dengan seluruh jiwa sanubari.

"Sebagai pewaris, sama-samalah kita terus memelihara keamanan, kesejahteraan serta kedaulatan Malaysia untuk anak-anak muda generasi masa hadapan.

“Semoga Malaysia kita yang tercinta terus dirahmati dan diberkati, serta kita semua dianugerahkan kekuatan dan kesabaran dalam menempuhi waktu-waktu getir ini," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: