Berlumba sakan, remaja 17 tahun antara empat ditahan

Antara motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan pada op khas ambang merdeka dan samseng jalanan di sekitar ibu negeri ini, pada Isnin.
Antara motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan pada op khas ambang merdeka dan samseng jalanan di sekitar ibu negeri ini, pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Remaja berusia 17 tahun antara empat lelaki ditahan dalam operasi khas ambang merdeka dan samseng jalanan di sekitar ibu negeri Perak pada Isnin.

Mereka berusia dari 17 hingga 20 tahun itu ditahan selepas didapati menunggang motosikal secara berbahaya ketika operasi di Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur/ Simpang Pulai dan Kilometer 20, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur bermula jam 11 malam hingga 7 pagi Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, operasi dijalankan hasil maklumat awam yang memaklumkan kumpulan motosikal itu sering berlumba dan membuat bising di kawasan sekitar Jalan Simpang Pulai-Gopeng.

"Tindakan mereka itu bukan sahaja bahaya kepada diri sendiri malah mengganggu ketenteraman penduduk setempat.

"Siasatan ke atas mereka yang bekerja kilang dan mekanik ini akan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dalam operasi sama, 63 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya tiada lesen memandu, ubah suai ekzos dan cermin sisi hasil pemeriksaan ke atas 143 kenderaan.

Katanya, enam motosikal pula disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan ubah suai kenderaan.

"Sebanyak 10 kompaun juga dikeluarkan ke atas individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel Berkaitan: