Operator kilang parah diserang lelaki bertopeng ketika beli laksa

No Image Caption
A
A
A

NIBONG TEBAL - Polis sedang mencari enam lelaki berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pekerja kilang ditetak lelaki bertopeng hingga cedera parah ketika membeli laksa dalam kejadian di Taman Merak Simpang Ampat di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, kesemua suspek tersebut dipercayai terlibat dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu.

Menurutnya, dalam kejadian itu, seorang operator kilang lelaki cedera parah selepas ditetak di beberapa bahagian badannya ketika sedang membeli laksa.

"Kami sedang mencari enam lelaki berbadan kurus dan tinggi untuk membantu siasatan. Wajah mereka tidak dapat dicam kerana ketika kejadian, kesemuanya memakai topeng muka.

"Dalam kejadian itu, mangsa berusia 25 tahun cedera di dua tapak tangan kerana ditetak, ditoreh di kedua-dua paha kiri serta ditetak di belakang kepala," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Katanya, mangsa yang cedera parah akibat kehilangan banyak darah dibawa ke Hospital Sungai Bakap sebelum dirujuk ke Hospital Seberang Jaya.

"Menurut saksi, mangsa diserang ketika berada di sebuah gerai menjual laksa di pasar malam Taman Merak Simpang Ampat. Mangsa kemudian dilihat berlari sambil dikejar beberapa lelaki lain yang memakai baju lengan pendek dan memakai pelitup muka.

"Saksi turut nampak mangsa ditetak di tepi jalan ketika sedang berlari malah dia diserang sekali lagi ketika terjatuh. Siasatan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Chong Chern, polis belum mengambil keterangan mangsa berikutan keadaannya yang dilaporkan kritikal.

"Mangsa kritikal dan tidak boleh ditemubual dengan jelas. Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

"Mangsa berasal dari Taman Merak Simpang Ampat itu mempunyai tiga rekod lampau melibatkan jenayah," katanya.