X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Segera wujud Akta Mencegah Lompat Parti

Ahmad Zamri
A
A

SHAH ALAM- Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa agar Akta Mencegah Lompat Parti diwujudkan pada kadar segera bagi mengekang perkara itu berlaku kerana ia boleh memudaratkan kestabilan politik dan menggugat ketenteraman awam.

Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, penggubalan Akta Mencegah Lompat Parti tidak bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan seseorang untuk berpersatuan.

Menurut beliau, undang-undang seharusnya berperanan untuk melindungi hak majoriti rakyat secara keseluruhan dan bukannya untuk mempertahankan kebebasan asasi individu atau parti politik tertentu yang mempunyai kepentingan.

“Kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat agak goyah dan pada bila-bila masa sahaja kerajaannya boleh dijatuhkan jika empat orang sahaja ahli Parlimen menarik balik sokongan atau melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Jika ini berlaku, maka rakyatlah yang akan menjadi mangsa sekali lagi akibat kerakusan, gila kuasa dan sikap mementingkan diri sendiri yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Parlimen ini.

“Justeru itu, Kanun Amanah merasakan sudah sampai masanya Akta Mencegah Lompat Parti diwujudkan pada segera bagi mengekang perilaku jelek para politikus,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, tegas beliau sekiranya seseorang sewenang-wenangnya mengubah pendirian atau melompat ke parti lain dengan dijanjikan tawaran atau habuan, ia sudah pasti akan mengikis kepercayaan rakyat ke atas proses demokrasi yang diamalkan.

Jika ia tidak dibendung, perkara ini dikhuatiri menyebabkan rakyat memilih cara lain yang boleh memudaratkan keselamatan negara akibat hilang kepercayaan terhadap proses pilihan raya akibat sikap segelintir wakil rakyat yang melompat.

“Apapun mekanisme yang akan dicadangkan nanti, Kanun berharap agar Akta Mencegah Lompat Parti ini dapat dibentang segera dan disokong sepenuhnya oleh ahli-ahli Parlimen pada pihak kerajaan dan pembangkang serta dikuatkuasakan sebelum PRU15.

“Proses demokrasi berparlimen perlu terus dipertahankan dan suara rakyat untuk memilih wakil mereka sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri perlu sentiasa dihormati.

“Biarlah peristiwa Langkah Sheraton menjadi titik hitam dalam sejarah demokrasi Malaysia yang tidak harus diulangi lagi pada masa akan datang,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!