Belanjawan 2022 pastikan tiada pihak tercicir terima bantuan

Belanjawan 2022 merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan RMK12 yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana berteraskan SDG dan WKB2030.Gambar hiasan. - Foto 123RF
Belanjawan 2022 merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan RMK12 yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana berteraskan SDG dan WKB2030.Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2022 akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang layak tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan.

Belanjawan ini juga merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Menurut Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) pada Selasa, secara keseluruhannya, Belanjawan 2022 dirangka dengan jangkaan situasi ekonomi pulih daripada kesan pandemik Covid-19 pada tahun hadapan.

“Oleh yang demikian, Belanjawan 2022 akan memberi tumpuan utama untuk terus melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat dan perniagaan, membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan pasca-pandemik,” jelas MoF.

Belanjawan 2022 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober 2021.

Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai sesi libat urus dan perundingan bagi mendapatkan maklum balas serta cadangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan belanjawan yang dirangka adalah komprehensif dan memenuhi aspirasi segenap pihak selaras dengan iltizam Keluarga Malaysia.

Belanjawan 2022 dirangka berdasarkan tiga keperluan utama iaitu pertama, meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara.

Kedua, menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Ketiga, memangkinkan pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan,” menurut MoF.

Bagi memastikan negara berjaya pulih dan keluar daripada kemelut ini, Belanjawan 2022 akan terus melindungi dan memulih kehidupan dan mata pencarian pasca-pandemik.

Jelasnya, kerajaan juga akan memacu pemulihan bagi sektor ekonomi yang paling teruk terjejas seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

Belanjawan 2022 juga akan menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara.

Di samping itu, usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu akan terus dijadikan keutamaan, menurutnya.

“Daya ketahanan ekonomi negara diuji sepanjang krisis pandemik Covid-19. Krisis ini mencabar kekentalan daya ketahanan ekonomi negara yang berteraskan kepelbagaian ekonomi, ketahanan fiskal serta keupayaan sistem kesihatan negara.

“Namun demikian, ia juga memberi peluang kepada semua pihak untuk mengkaji kekurangan dan memperkukuh lagi ketahanan negara untuk menghadapi kemungkinan krisis serupa pada masa akan datang,” menurut MoF.

Justeru, Belanjawan 2022 akan menekankan antaranya usaha untuk membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara bagi menghadapi krisis kesihatan melalui peningkatan kapasiti dan kualiti, memperkasa modal insan dalam sektor berkenaan serta menjalinkan kerjasama lebih erat antara penyedia perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

Di samping tumpuan kepada aspek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur fizikal, Belanjawan 2022 akan turut memberikan penekanan ke arah mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi dan sosial pada masa hadapan.

“Dari aspek pendidikan, infrastruktur dan aplikasi digital perlu dipertingkatkan bagi membolehkan sistem pendidikan membuat penyesuaian dengan keperluan belajar secara dalam talian di rumah.

“Selain itu, bagi sektor perniagaan, aplikasi dan infrastruktur digital turut memainkan peranan penting sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan sektor ini kekal beroperasi dan produktif,” tambahnya.

MoF menjelaskan krisis ini juga mendedahkan keperluan untuk negara beralih kepada sektor industri yang mempunyai produktiviti tinggi berasaskan teknologi automasi dan kemahiran tinggi.

Oleh yang demikian, penekanan juga akan diberikan untuk mempercepat peralihan kepada teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 dan transformasi digital serta meningkatkan keupayaan modal insan negara melalui program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula berasaskan permintaan semasa pasaran pekerjaan, jelasnya.

“Belanjawan 2022 turut akan mengkaji kaedah untuk membina semula ketahanan fiskal negara yang terkesan disebabkan komitmen kerajaan dalam menampung pakej rangsangan dan bantuan untuk rakyat dan perniagaan,” menurut MoF.

Krisis Covid-19 juga memberi peluang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi ke arah mewujudkan ekonomi yang lebih lestari serta berproduktiviti dan bernilai tambah tinggi.

Oleh yang demikian, Belanjawan 2022 akan memastikan langkah-langkah pembaharuan dilaksanakan, dengan memberi penumpuan kepada pencapaian SDG, RMKe-12 dan WKB2030.

Kerajaan akan menumpukan, antara lain, ke arah meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam serta penekanan unsur alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan.

“Usaha ini menggambarkan tekad negara untuk membangunkan ekonomi yang lebih lestari dan terangkum, yang akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama,” tambah MoF.

Selain itu, peranan yang dimainkan oleh pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dalam tempoh pandemik ini telah menunjukkan kepentingannya sebagai rakan pembangunan kerajaan dalam menangani pelbagai isu rakyat.

Oleh itu, kerajaan juga akan memperkukuh kerjasama dengan CSO dalam pelbagai bidang seperti membasmi kemiskinan, meningkatkan modal insan dan meningkatkan kualiti kesihatan rakyat, menurut MoF. - Bernama