'Beauty_saranghae' tipu jual barang elektronik

Dua dalang penipuan melalui Instagram ditahan

MOHD KAMARUDIN
MOHD KAMARUDIN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua wanita disyaki dalang penipuan penjualan barangan elektronik melalui Instagram ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din melalui kenyataan pada Selasa memberitahu, wanita berusia 32 dan 53 tahun itu ditahan pada 9 Ogos selepas mengesan kewujudan akaun Instagram atas nama 'beauty_saranghae'.

Beliau berkata, setakat ini 64 kes sedang disiasat melibatkan akaun Instagram itu dengan nilai kerugian mencecah RM153,759.

"Modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan mengiklankan pelbagai barangan elektronik dengan harga lebih murah daripada pasaran.

"Pembeli yang berminat kemudiannya akan diarahkan membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan namun barangan yang dijanjikan tidak diterima," katanya.

Mohd Kamarudin memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai berwaspada apabila membeli barangan secara dalam talian.

"Orang ramai digalakkan membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon atau melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenalpasti sama ada akaun bank tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Kamarudin berkata, sepanjang tahun 2019 hingga 30 Ogos, sejumlah 15,785 kes penipuan penjualan secara dalam talian melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM110,596,301.37 sudah disiasat.

"Sejumlah 3,512 kes dicatatkan pada tahun 2019 dengan kerugian RM28,033,387.22. Pada tahun lalu, sejumlah 5,846 kes telah dicatatkan dengan nilai kerugian RM41,432,531.48.

"Bagi tempoh Januari hingga 30 Ogos, sejumlah 6,428 kes telah dicatatkan melibatkan kerugian RM 41,130,382.67," katanya.