Hasil kutipan cukai negara hanya capai separuh daripada sasaran

Kementerian Kewangan menjangkakan sasaran defisit fiskal negara pada tahun ini meningkat antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada KDNK.
Kementerian Kewangan menjangkakan sasaran defisit fiskal negara pada tahun ini meningkat antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada KDNK.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasil kutipan cukai negara sehingga Julai 2021 hanya mencapai lebih kurang separuh daripada jumlah yang disasarkan oleh kerajaan untuk tahun ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, kutipan cukai langsung yang direkodkan dalam tempoh tersebut adalah sebanyak RM67.4 bilion atau 56.2 peratus daripada sasaran.

Katanya, bagi cukai tidak langsung pula, hasil kutipan hanya mencatat kutipan sebanyak RM24.8 bilion iaitu 59 peratus daripada jumlah yang disasarkan.

“Prestasi kutipan hasil bagi separuh pertama 2021 adalah rendah berbanding anggaran dan kutipan seterusnya dijangka berkurangan ekoran pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan aktiviti perniagaan dan pendapatan peniaga, selain menyebabkan pertambahan mereka yang kehilangan pendapatan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Sasaran kutipan hasil cukai yang ditetapkan oleh kerajaan pada 2021 adalah berjumlah RM162.1 bilion iaitu 10.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merangkumi kutipan cukai langsung sebanyak RM120 bilion dan cukai tidak langsung sebanyak RM42.1 bilion.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan menjangkakan sasaran defisit fiskal negara pada tahun ini meningkat antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada KDNK.

Sasaran tersebut adalah lebih tinggi berbanding defisit fiskal yang disasarkan semasa Belanjawan 2021 iaitu 5.4 peratus kepada KDNK.

“Kutipan hasil pada separuh pertama 2021 masih meningkat sebanyak 4.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2020, walaupun pada kadar lebih perlahan daripada anggaran Belanjawan.

Artikel Berkaitan:

“Namun, perbelanjaan juga bertambah sebanyak 5.7 peratus disebabkan sokongan fiskal berterusan kepada rakyat, perniagaan dan ekonomi berikutan penyediaan pakej bantuan tambahan untuk mengurangkan impak krisis pandemik dan pelaksanaan semula beberapa projek pembangunan kerajaan untuk merancakkan kembali aktiviti ekonomi,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan juga menyediakan pakej bantuan lebih besar dalam menghadapi kesan pandemik yang lebih buruk pada tahun ini ekoran kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya.