Dua penghantar diberkas seludup burung enggang

Perhilitan merampas lapan ekor burung enggang susulan tangkapan dua lelaki tempatan di KLIA, pada 13 Ogos lalu.
Perhilitan merampas lapan ekor burung enggang susulan tangkapan dua lelaki tempatan di KLIA, pada 13 Ogos lalu.
A
A
A

SEPANG - Dua warga tempatan yang berperanan sebagai penghantar dalam kes penyeludupan burung enggang ke Eropah diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada 13 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan kira-kira jam 9.50 malam itu berjaya menyelamatkan lapan ekor burung enggang.

Katanya, pihaknya turut menahan dua warga tempatan berusia 26 dan 34 tahun yang berperanan sebagai penghantar hidupan liar terbabit.

"Semakan mendapati mereka gagal mempamerkan sebarang dokumen penyimpanan yang sah daripada Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia bagi menyimpan kesemua spesies burung enggang itu.

"Soal siasat mendapati kesemua burung itu akan dihantar ke Bangladesh sebagai transit sebelum diseludup ke Eropah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Salah seekor burung enggang yang dirampas susulan penangkapan dua lelaki tempatan di KLIA, pada 13 Ogos lalu.
Salah seekor burung enggang yang dirampas susulan penangkapan dua lelaki tempatan di KLIA, pada 13 Ogos lalu.

Beliau berkata, anggaran nilai pasaran gelap burung enggang berkenaan bernilai RM100,000 hingga RM120,000 seekor di Eropah manakala di Malaysia boleh mencecah RM35,000 seekor.

Tambah Abdul Kadir, siasatan masih dijalankan untuk mengesan pemilik sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Satu laporan polis telah dibuat dan kesemua rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).