Idris fokus laksana program keislaman selaras konteks Keluarga Malaysia

Idris menyaksikan penyerahan PPE oleh Pengerusi Masjid Mahmoodiah Dr Shamsudin Mohamad (kanan) kepada Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail (kiri) semasa hadir pada Program Sumbangan Daging Lembu, Bakul Makanan dan Dapur It'am Merdeka di Masjid Mahmoodiah Presint 18 Putrajaya, pada Selasa. - Foto Bernama
Idris menyaksikan penyerahan PPE oleh Pengerusi Masjid Mahmoodiah Dr Shamsudin Mohamad (kanan) kepada Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail (kiri) semasa hadir pada Program Sumbangan Daging Lembu, Bakul Makanan dan Dapur It'am Merdeka di Masjid Mahmoodiah Presint 18 Putrajaya, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu dilantik Idris Ahmad akan memfokuskan program-program berbentuk keislaman yang selaras dengan konteks Keluarga Malaysia dalam pentadbirannya.

Beliau yang pertama kali dilantik sebagai menteri Pusat berkata, setiap agensi di bawah tanggungjawabnya perlu melaksanakan program-program yang membina masyarakat ke arah lebih baik selaras pendekatan Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, katanya, program-program yang dilaksanakan sebelum ini seperti Tabung Musa'adah Covid-19 akan diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat.

“Tabung Musa’adah ini Insya-ALLAH akan diteruskan. Saya akan berbincang dengan pihak yang mengendalikan tabung ini kerana ia adalah kerja-kerja kebajikan yang perlu dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Daging Lembu dan Dapur It'am Merdeka di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 di sini pada Selasa.

Idris mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Isnin.

Mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari ditetapkan Ismail Sabri, Naib Presiden Pas itu berkata, beliau akan melakukan kerja sebaik mungkin dan memerlukan kerjasama semua agensi bagi menjayakan KPI ditetapkan.

“Esok saya akan masuk pejabat dan dalam tempoh 100 hari ini, kita akan bekerja dan tiada masa untuk ‘berbulan madu’. Kita ingin pastikan kebajikan rakyat terjaga,” katanya.

Perdana Menteri ketika mengumumkan kabinetnya pada Jumaat memberi penekanan kepada budaya kerja berprestasi tinggi dengan setiap kementerian membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Artikel Berkaitan:

Mengenai penyebaran ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar di media sosial, Idris berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang ajaran sesat kerana ia akan memesongkan akidah masyarakat.

“Pendekatan terhadap mereka yang terlibat ajaran sesat adalah kaunseling dan beri pendidikan, perkara berkaitan ajaran sesat akan diserahkan kepada pihak berkuasa... kalau ia berlaku di negeri, Jabatan Agama Islam negeri akan ambil tindakan,” katanya.

Media melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

Wanita yang menggunakan gelaran Sittah Annur itu dikaitkan dengan usaha mengembangkan ajaran diasaskannya dikenali sebagai PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, dan menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai dakwaan dan ramalan pelik.

Pada majlis tersebut, sejumlah 700 pek daging segar daripada 10 ekor lembu sumbangan QSR Brands diagihkan kepada golongan yang terkesan dan memerlukan sekitar Putrajaya.

Turut diagihkan, 100 pek bakul makanan seperti beras, minyak masak dan susu sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri bernilai RM10,000 manakala 600 pek bubur Asyura diagihkan di bawah inisiatif Dapur It'am iaitu program agihan makanan percuma Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. - Bernama