Remaja buat aksi ' Superman' ditahan

ISMAIL
ISMAIL
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan dalam Operasi Ambang Merdeka kerana menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi 'Superman' di Jalan Sultan Omar, di sini malam Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, operasi dilakukan pegawai dan anggota dari pasukan ‘Skuad 42’ Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dari jam 9 malam hingga 3 pagi.

Menurutnya, remaja berkenaan dilihat menunggang secara berbahaya dalam satu kumpulan dan tindakan pantas anggota bertugas menahannya kira- kira jam 11 malam.

"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Selasa.

Tambahnya, dua buah motosikal lain turut disita dalam operasi tersebut kerana melakukan kesalahan trafik di bawah Seksyen 64 APJ 1987.

Jelas beliau, operasi dijalankan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama di pusat bandar.

"Operasi malam tadi lebih kepada pencegahan bagi memastikan tiada penganjuran aktiviti dilakukan sempena Malam Ambang Merdeka terutama berkumpul beramai-ramai yang sekali gus melanggar SOP," katanya.

Ismail turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang dikategorikan melanggar SOP dan mereka yang ada maklumat berkaitan boleh menghubungi pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan: