Warga emas rugi RM400,000 diperdaya sindiket parcel scam

Seorang warga emas kerugian kira-kira RM400,000 akibat diperdaya sindiket parcel scam.
Seorang warga emas kerugian kira-kira RM400,000 akibat diperdaya sindiket parcel scam.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Perkenalan seorang warga emas dari Port Dickson dengan seorang wanita di laman sosial sejak Jun tahun lepas, membawa padah kepadanya apabila beliau kerugian kira-kira RM400,000 akibat diperdaya sindiket parcel scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, pesara lelaki berusia 78 tahun itu mendakwa telah berkenalan dengan seorang wanita bernama Velostin Tina, dari Amerika Syarikat di Facebook.

Menurut Aibee, mangsa dijanjikan kiriman bungkusan dipercayai wang bernilai lebih RM6 juta (1.5 juta AS$), yang akan dihantar menerusi perkhidmatan kurier ke negara ini.

“Wanita itu berjanji akan datang ke Malaysia dan memberi 30 peratus daripada wang itu kepada mangsa. Dalam proses untuk mendapatkan bungkusan tersebut, mangsa telah membayar beberapa kos kastam dan cukai ke lima akaun bank yang berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Bagaimanapun beliau berkata, lelaki berkenaan berasa ditipu setelah diminta untuk membayar sebanyak RM479,250 lagi kepada wanita itu, sedangkan bungkusan yang dijanjikan masih belum diterima.

Aibee berkata, mangsa telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama

Artikel Berkaitan: