Pinta mohon solat hajat, doa rakyat Malaysia

Laman Facebook Pinta yang memohon dipermudahkan urusan mereka di Pakistan.
A
A

KUANTAN - Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (Pinta) Kebangsaan memohon doa serta solat hajat rakyat Malaysia agar urusan mereka di bumi Pakistan dipermudahkan.

Pengerusi Pinta Pahang, Muhammad Abdul Salam Abdul Ghani yang kini berada di sana memaklumkan sehingga kini pihaknya tidak dapat pulang ke tanah air memandangkan Lapangan Terbang Antaranbangsa Allama Iqbal, Lahore ditutup dan semua penerbangan telah digantung.

"Kami terkandas di sini susulan situasi tegang yang berlaku antara negara itu dan India.

"Pihak kedutaan Malaysia di Pakistan juga sudah maklum mengenai situasi kami di sini dan akan membantu Pinta untuk pulang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, dengan penuh rendah diri, kesemua yang terkandas mohon doa rakyat Malaysia saf kepimpinan tertinggi Pinta dihindari dari semua musibah yang berat dan dapat segera kembali ke bumi bertuah Malaysia.

"Alhamdulillah kami di sini selamat, cuma untuk kami terbang pulang ke Malaysia belum ada jaminan lagi dari mana-mana pihak bila tarikh kami akan berlepas.

"Tapi, kami bersyukur kerana menerima layanan baik daripada penduduk Pakistan, biarpun dalam suasana tegang seperti ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Pinta kini hanya mampu menumpang di sebuah masjid berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Allama Iqbal memandangkan kekurangan dana kewangan.

"Kami datang ke Pakistan adalah untuk belajar dan mengkaji cara pengurusan dan pengalaman yang telah ada di Pakistan ini melalui Wifaqul Madaris Al Arabia Pakistan.

"Pengalaman serta pengurusan terbaik mereka sangat penting untuk kami laksanakan di Malaysia agar sistem pengajian tahfiz lebih baik selepas ini," katanya.

Pada masa sama, dengan ilmu yang ditimba di Pakistan, ulum di Malaysia juga mampu untuk terus subur dan kukuh tanpa dapat diganggu gugat dan di perlekehkan oleh mana-mana pihak," katanya.