Dua bot pukat tunda ditahan

Bot pukat tunda yang ditahan pada malam ambang kemerdekaan kerana melanggar syarat sah lesen.- Foto Ihsan Jabatan Perikanan Johor
Bot pukat tunda yang ditahan pada malam ambang kemerdekaan kerana melanggar syarat sah lesen.- Foto Ihsan Jabatan Perikanan Johor
A
A
A

MERSING - Jabatan Perikanan Negeri Johor menahan dua bot pukat tunda kerana dikesan melanggar syarat lesen penangkapan ikan menerusi operasi di kawasan Taman Laut Johor pada Isnin.

Kedua-dua bot berkenaan ditahan menerusi operasi pemantauan, pengawalan dan survelan ambang kemerdekaan yang dilakukan Pasukan Khas Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Johor.

Pengarah Perikanan Johor, Zainudin Abd Wahab berkata, pihaknya menahan dua buah bot pukat tunda kelas C sekitar jam 2 hingga 3.15 pagi.

Menurutnya setelah pemeriksaan dijalankan, pihaknya mendapati bot pukat tunda yang mempunyai tujuh orang kru terdiri daripada orang tempatan itu menjalankan penangkapan ikan pada jarak 10 batu nautika dari pantai.

"Bagi vesel zon C, mereka tidak dibenarkan menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai. Pemeriksaan lanjut ke atas bot pukat tunda itu terdapat hasil tangkapan ikan sebanyak 3,400 kilogram (kg).

"Kedua-dua bot dan hasil tangkapan disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jabatan Perikanan Johor mengingatkan nelayan sentiasa mematuhi syarat lesen agar tidak menjejaskan sumber perikanan negara yang perlu diurus secara lestari.

Artikel Berkaitan: