X

Kindly register in order to view this article
!

Pesara maut dilanggar motosikal ketika lintas jalan

Mangsa maut di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah motosikal di Jalan Kuala Krai pada Isnin. - Foto PDRM
A
A

KOTA BHARU - Seorang pesara kerajaan maut selepas dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan di Jalan Kuala Krai berhampiran restoran makanan segera di Wakaf Che Yeh di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, mangsa, Muhammad Jusoh @ Yusoff, 72, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, lelaki warga emas itu dipercayai melintas jalan secara mengejut di kawasan bukan lintasan pejalan kaki untuk kedai farmasi.

Menurutnya, pada masa sama seorang lelaki berusia 22 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR dari arah Kota Bharu ke Tunjong tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa.

"Mangsa yang berasal dari Kampung Lubok Jambu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh.

“Mangsa mengalami cedera patah kaki kanan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut diminta tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!