Pulau Pinang tidak perketatkan hak istimewa penerima dua dos vaksin

Kon Yeow (kanan) bersama Amirudin (kiri) melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di SP Arena pada Selasa.
Kon Yeow (kanan) bersama Amirudin (kiri) melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di SP Arena pada Selasa.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Pulau Pinang tidak akan memperketatkan hak istimewa atau kelonggaran terhadap mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin dalam usaha mengurangkan kes Covid-19 di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu dilihat tidak perlu kerana yakin dengan kesedaran rakyat di negeri ini terutama terhadap kelonggaran 'dine-in' di premis makanan.

Menurutnya, ramai pemilik premis belum membenarkan 'dine-in' kepada pelanggan dan masih mengamalkan pembelian secara bungkus.

"Walaupun kes di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan, saya rasa untuk memperketatkan hak keistimewaan seperti 'dine-in' adalah tidak perlu. Ramai pemilik premis masih tidak membenarkan 'dine-in' selain pelanggan sendiri memilih untuk membeli secara bungkus.

"Ini menunjukkan rakyat mula sedar dengan rekod kes yang semakin meningkat. Mereka juga dilihat sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan itu yang kerajaan negeri mahukan," katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Arena Seberang Perai (SP Arena) di sini pada Selasa.

Sebelum itu, Kon Yeow menerima 20,000 dos vaksin daripada kerajaan Selangor yang disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, Kon Yeow berkata, hampir kesemua sektor ekonomi di negeri ini akan dibuka semula mengikut kemudahan untuk sektor perdagangan dan pengedaran pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun Pulau Pinang belum mencapai 50 peratus kadar vaksinasi penuh.

Kon Yeow berkata, ini kerana terdapat pindaan terkini prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai kelonggaran sektor ekonomi yang dibenarkan dibuka semula dari 16 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai permohonan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan, Kon Yeow berkata, keputusan itu tertakluk kepada penilaian pejabat kesihatan daerah.

Tambahnya, keadaan sebenar di kawasan perumahan tersebut tidak seteruk seperti yang dilaporkan pada Isnin berikutan hanya 25 individu disahkan positif.

"Kita akan melaksanakan sesi pemeriksaan dan ujian saringan Covid-19 untuk lebih 300 penduduk di Taman Manggis pada petang ini (Selasa).

"Saya berharap semua penduduk akan menjalani ujian saringan Covid-19 untuk mengetahui status kesihatan mereka," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk di perumahan itu memohon pelaksanaan PKPD susulan ramai penduduk di flat berkenaan dijangkiti Covid-19.

Menurut mereka, sehingga kini seramai 100 keluarga daripada 20 unit rumah diarah menjalani kuarantin di kediaman masing-masing dan lebih membimbangkan terdapat kematian dilaporkan.