Terpedaya mata ganjaran percuma, pereka grafik rugi RM8,300

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pereka grafik sebuah syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM8,300 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam urusan menebus mata ganjaran daripada sebuah syarikat penerbangan terkemuka pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa yang berusia 31 tahun sebelum itu dihubungi oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada sebuah syarikat penerbangan.

"Pemanggil telah memaklumkan bahawa terdapat mata ganjaran percuma atas nama pengadu yang boleh ditukarkan dengan wang tunai berjumlah RM750," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mohd Mahidisham berkata, mangsa yang terpedaya dengan tawaran itu telah memberikan butir-butir maklumat kad debit dan kad kredit untuk tujuan penebusan mata ganjaran berkenaan.

"Selepas maklumat diberikan, pengadu telah menerima makluman daripada pihak bank yang memaklumkan terdapat beberapa transaksi melibatkan akaunnya berjumlah RM8,300," katanya.

Mohd Mahidisham berkata, kes itu di siasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer (Capaian Tanpa Kuasa).

"Orang ramai dinasihatkan tidak mendedahkan maklumat peribadi serta perbankan kepada pihak yang tidak dikenali," katanya.

Artikel Berkaitan: