Bekalan hasil tani cukup untuk hadapi fenomena panas

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Bekalan hasil tani setakat ini masih mencukupi meskipun fenomena musim panas sedang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata, persiapan menghadapi sebarang kemungkinan kekurangan bekalan hasil tani turut dilakukan seandainya cuaca panas berlarutan iaitu dengan menyimpan stok bekalan serta mengimport bekalan sayuran dari luar negara.

"Kita diberi kelulusan oleh kerajaan untuk mengimport sayuran seperti kobis dan kelapa sekiranya berlakunya kekurangan bekalan. Jadi, sekiranya berlakunya kekurangan bekalan, kita akan bekalkan terus ke tempat-tempat terjejas melalui stok bekalan yang sudah disimpan ini.

"Dari segi harga, sejak tahun baharu Cina lagi tidak ada kenaikan harga begitu ketara dan kalau ada kenaikan harga sekalipun, mesti ada berlakunya kekurangan bekalan, tetapi pemantauan kami di peringkat borong dan runcit tidak ada kenaikan harga yang begitu ketara dan harga masih stabil," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program MyBest Buy-Jualan Terus Dari Ladang Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir.

Sementara itu, menurutnya, FAMA juga menyasarkan jualan program ‘My Best Buy’ akan mencapai RM16 juta pada tahun ini dengan penglibatan sebanyak 2,700 usahawan di seluruh negara.

"Dengan adanya program seperti ini, setiap hasil tani yang diusahakan petani mahupun pengusaha industri asas tani tidak berlaku sebarang masalah untuk memasarkan produk mereka selain pelanggan juga boleh mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

Artikel Berkaitan:

"Barangan yang dijual secara terus dari ladang, tanpa orang tengah selain harga yang lebih murah antara lima hingga 20 peratus. Ia juga merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu petani dan pengusaha dalam membuat pilihan sekiranya pasaran sebelum ini tidak menguntungkan, mereka boleh berniaga di sini.

Ahmad berkata, pihaknya juga merancang untuk mengadakan program MyBest Buy-Jualan Terus Dari Ladang pada setiap bulan di seluruh negara terutama di perkarangan pejabat FAMA bagi mengalakkan serta membuka peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk baru mereka kepada orang ramai. - Bernama