83.9 peratus penduduk dewasa di Sabak Bernam lengkap vaksin

Amri (kanan) beramah-mesra bersama penerima vaksin di PPV Dewan Seri Bernam pada Selasa.
Amri (kanan) beramah-mesra bersama penerima vaksin di PPV Dewan Seri Bernam pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Penduduk dewasa 18 tahun ke atas di daerah Sabak Bernam sudah mencapai 83.9 peratus vaksinasi dos kedua setakat Selasa.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah Sabak Bernam Amri Ismail berkata, peratusan mengikut pendaftaran aplikasi MySejahtera itu menunjukkan seramai 89,952 individu sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Menurut beliau, pada masa ini proses pemberian vaksin di daerah itu berada pada tahap terbaik.

"Sasaran awal ditetapkan kerajaan bagi mencapai imuniti kelompok sehingga 80 peratus pada 30 September tetapi kita mencapai sasaran tersebut sebulan lebih awal pada 30 Ogos (Isnin)," katanya ketika lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Bernam di sini pada Selasa.

Amri yang juga Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata, dua daripada tiga PPV berdaftar di daerah itu sudah ditutup sejak 23 Ogos lalu.

"Dua PPV ditutup itu ialah di Dewan Seri Sekinchan dan Dewan Tun Razak Sabak Bernam manakala sebuah sahaja PPV masih dibuka iaitu di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar," katanya.

Tambah beliau, pada masa ini, PPV Dewan Seri Bernam mencatatkan kapisiti 1,000 dos suntikan sehari.

"PPV Dewan Seri Bernam pada masa ini turut menyediakan kira-kira 100 dos suntikan vaksin secara terus atau 'walk in' setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, selain pendaftaran melalui MySejahtera, beberapa pendekatan turut dilaksanakan antaranya menerusi pemberian vaksin di hospital, klinik awam dan program Bantuan (outreach) secara mobil.

"Kita menyasarkan melalui program vaksinasi seperti ini, kadar vaksinasi penduduk di daerah ini berjaya mencapai 100 peratus," katanya.