Sambutan Hari Kebangsaan peringkat NS disambut sederhana

Aminuddin mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara.
Aminuddin mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara.
A
A
A

SEREMBAN- Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 peringkat Negeri Sembilan diadakan secara sederhana dan ringkas di pekarangan Dewan Undangan Negeri(DUN), Wisma Negeri pada Selasa.

Majlis secara tertutup dengan jemputan terhad melibatkan orang kenamaan, pemimpin negeri, ketua jabatan dan petugas barisan hadapan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan.

Turut berangkat sama ialah kedua-dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin.

Hadir sama, Datuk-Datuk Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong.

Majlis bermula pada jam 8.35 pagi dengan acara menaikkan Jalur Gemilang yang diiringi lagu Negaraku oleh Pancaragam Pusat Kor Amor Diraja (PPKAD) yang diketuai oleh Pegawai Waran 1, Mohamad Khusry Jamahar.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad kemudian membaca doa dan kemudian diteruskan dengan ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Artikel Berkaitan:

Tuanku Muhriz (dua dari kanan) dan Tuanku Aishah Rohani (kanan) mengaminkan bacaan doa.
Tuanku Muhriz (dua dari kanan) dan Tuanku Aishah Rohani (kanan) mengaminkan bacaan doa.

Bagaimanapun, sama seperti tahun lalu tiada acara perarakan dan majlis berakhir jam 9 pagi dengan keberangkatan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani.

Sementara itu Aminuddin ketika ditemui pemberita berkata, majlis berkenaan berjalan lancar walaupun perlu mengikut SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan.

"Saya yakin selepas negara berjaya menempuh tempoh penularan Covid-19 nanti, semua rakyat dapat bangkit semula untuk membina dan membangunkan semula ekonomi negara.

“Kita mungkin akan hidup dalam suasana yang berbeza, tetapi semangat untuk melihat negara maju dan membangun itu akan sentiasa ada dalam semangat diri rakyat termasuk di Negeri Sembilan, "katanya.