Hoki: Oltmans yakin Malaysia mampu beri saingan sengit

Roelant Oltmans. - Foto Bernama
Roelant Oltmans. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans percaya anak buah boleh memberi cabaran sengit kepada Belanda pada perlawanan pembukaan Kumpulan D, Piala Dunia 2018, di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, esok.

Walaupun rekod menunjukkan pasukan Malaysian Tigers hanya menang lima kali dalam 33 pertemuani dengan Belanda sebelum ini namun Oltmans percaya anak buahnya memiliki apa yang diperlukan untuk mencabar pasukan kuasa besar dunia dalam sukan itu.

Jurulatih berusia 64 tahun itu yakin skuad negara dapat memperbaiki prestasi pada kempen Piala Dunia kali ini di mana sebelum inI di The Hague, Belanda pada 2014 menyaksikan Malaysia kalah kesemua enam perlawanan kumpulan serta membolos 26 gol.

Pada kempen kali ini, Malaysia menghadapi ujian sukar selepas diturunkan dalam Kumpulan D, yang disifatkan sebagai ‘Kumpulan Maut’, bersama-sama bekas juara enam kali, Pakistan, Belanda (bekas juara tiga kali), selain bekas juara dua kali, Jerman.

“Pemain telah melangkah jauh, Pencapaian naib juara Sukan Asia 2018 di Indonesia menunjukkan mereka mampu menampilkan persembahan yang baik. Saya melihat potensi yang baik dalam barisan pemain.

“Bagaimanapun, ia tidak akan menjadi tugas mudah,” kata Oltmans dalam laman web Konfederasi Hoki Malaysia (MHC); www.mhc.org.my.

Dalam pada itu, kapten pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib turut berkongsi pandangan sama dengan menggesa rakan sepasukannya supaya tidak melihat keputusan masa lalu dalam kempen Piala Dunia sebelum ini.

“Matlamatnya adalah untuk melakukan yang lebih baik setiap kali keluar bermain. Kita mesti belajar daripada pengalaman masa lalu dan sudah tiba masa untuk bangkit dan membuktikan keupayaan diri kita.

“Tidak sepatutnya ada tekanan kerana ranking kami lebih rendah daripada Belanda dan Jerman,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Melahirkan sentimen sama ialah pakar pukulan sudut negara, Muhammad Razie Abd Rahim, yang percaya skuad negara akan menampilkan prestasi yang lebih hebat berbanding sebelum ini.

Beliau berkata barisan pemain terdiri daripada muka baharu dan pemain berpengalaman dan dengan bimbingan jurulatih baharu, mungkin boleh melakukan dengan lebih baik.

Matlamat utama adalah untuk melepasi peringkat kumpulan, katanya.

“Kita perlu menghadapi satu persatu perlawanan dan memperbaiki prestasi sepanjang mengharungi perlawanan.

“Kita harus menghentikan kesilapan remeh dan berazam melakukan yang terbaik,” katanya yang menjaringkan tiga gol semasa edisi 2014. - Bernama