X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Al-Quran 600 tahun selamat dalam fenomena kepala air

Jasni (kiri) melihat salah satu al-Quran di Galeri Warisan Kampung Acheh.
A
A

YAN - Dua al-Quran tulisan tangan berusia 600 tahun yang ditempatkan di Galeri Warisan Kampung Acheh terselamat dalam kejadian banjir lumpur akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai pada Rabu dua minggu lepas.

Pengurus Kem Kampung Acheh Management Centre (KAMC), Jasni Ghani berkata, hampir 50 peratus infrastruktur di kawasan itu mengalami kerosakan termasuk landskap dan hasil tanaman kerana ramai penduduknya tinggal di tepi sungai.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, air naik sehingga lebih 1 meter di luar galeri mengakibatkan beberapa infrastruktur mengalami kerosakan.

"Lebih mengejutkan, aliran air deras dalam tempoh 45 minit hingga satu jam selepas fenomena kepala air menyebabkan wujud sungai baharu berhampiran Kampung Acheh.

"Bagaimanapun, khazanah lama warisan empat generasi Acheh ditempatkan di Galeri Acheh, iaitu dua al-Quran tulisan tangan berusia 600 tahun dan dinar emas selamat," katanya ketika ditemui pada Misi Bantuan Banjir Lumpur di Yan pada Isnin.

Jasni memberitahu, hanya sedikit aliran air memasuki galeri berkenaan walaupun ketika itu kawasan luar dan sekitarnya dipenuhi aliran deras serta tinggi hingga boleh menenggelamkan penduduk.

"Alhamdulillah, al-Quran terpelihara dengan kekuasaan ALLAH SWT kerana bencana alam diibaratkan tsunami kecil itu hanya menyebabkan kerosakan kecil pada galeri," katanya.

Menurutnya, pihaknya mungkin mengambil masa antara enam bulan hingga setahun untuk memulihkan semula kawasan kem berkenaan.

"Disebabkan pandemik Covid-19, kem yang diuruskan penduduk Kampung Acheh sudah lama tidak didatangi pelanggan dan ketiadaan pendapatan.

Kerosakan yang berlaku menambahkan beban kami," katanya.

Hasli (tengah) dan Dr Eko Indrajaya (kiri) ketika ditemui pada Misi Bantuan Banjir Lumpur di Yan pada Isnin.
Hasli (tengah) dan Dr Eko Indrajaya (kiri) ketika ditemui pada Misi Bantuan Banjir Lumpur di Yan pada Isnin.

Jasni memberitahu, bagaimanapun Tsunami kecil dilalui menimbulkan keinsafan kepada penduduk dan terharu kepada penyumbang yang prihatin dengan nasib masyarakat Kampung Acheh dan kampung berhampiran.

Mereka berharap ada pihak membantu pembangunan semula infrastruktur yang rosak terutama bekalan air, jalan, lampu jalan dan menggali semula sungai bagi membolehkan ia menampung air jika berlaku banjir.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Acheh Zon Ampang, Dr Eko Indrajaya berkata, lebih 12 tan barangan keperluan disumbangkan Persatuan Peniaga/Masyarakat Acheh bersama Perintis Bersatu Malaysia.

Beliau yang mesra dengan panggilan Haji Man berkata, antara barangan keperluan disalurkan termasuk beras, minyak, tepung, gula dan sebagainya untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Yan.

Timbalan Presiden (Kebajikan) Perintis Bersatu Malaysia, Datuk Hasli Sazali pula berharap bantuan makanan asas itu membantu penduduk terkesan akibat fenomena kepala air tersebut.

Turut hadir, Pengerusi Perintis Bersatu Malaysia Kedah, Honeynyta Amit.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!