Sambutan Hari Kebangsaan 2021 berskala kecil, terkawal

Tengku Hassanal berkenan memeriksa pasukan kawalan kehormatan utama, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dianggotai 107 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Tengku Hassanal berkenan memeriksa pasukan kawalan kehormatan utama, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dianggotai 107 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
A
A
A

KUANTAN - Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 diadakan dalam persekitaran norma baharu susulan pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

Bertemakan Malaysia Prihatin, sambutan di pekarangan bangunan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang bermula jam 8.30 pagi itu tetap menyerlahkan patriotisme dan semangat rakyat.

Sambutan Hari Kebangsaan yang dilaksanakan mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berkonsep terbuka, terkawal dan berskala kecil.

Atur cara dan persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme disusun rapi agar bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui laman sosial secara maya.

Sambutan dimulakan dengan keberangkatan tiba Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di hadapan pentas diraja yang disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda kemudiannya menerima tabik hormat sebelum berkenan memeriksa pasukan kawalan kehormatan utama, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dianggotai 107 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Pasukan kawalan kehormatan utama TUDM dianggotai 107 pegawai dan anggota lain-lain pangkat pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan pada Selasa.
Pasukan kawalan kehormatan utama TUDM dianggotai 107 pegawai dan anggota lain-lain pangkat pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan pada Selasa.

Baginda turut menyaksikan upacara menaikkan bendera oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dari Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan selain lafaz ikrar dan laungan Merdeka diketuai Mejar Mohd Husni Saberi daripada Batalian ke 12 Askar Melayu Diraja, Mekanize.

Artikel Berkaitan:

Walaupun tiada perarakan diadakan seperti kebiasaan namun acara tetap dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan.

Tengku Hassanal Ibrahim dalam pada itu turut berkenan menyaksikan Lintas Hormat lima buah pesawat yang diterbangkan khas oleh Nombor 12 Skuadron, yang berpangkalan di Pangkalan Udara Gong Kedek, Kelantan.

Sementara itu Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zakaria Ibrahim berkata, program diadakan di kawasan terbuka bagi membolehkan pengudaraan dan kawalan yang baik.

"Sambutan kali ini hanya melibatkan tetamu kerabat diraja, pemimpin negeri dan 28 ketua jabatan sahaja.

"Kita tidak menggalakkan orang ramai hadir sebaliknya mereka boleh menyaksikan secara maya di laman sosial Facebook Kerajaan Pahang dan Jabatan Penerangan Pahang," katanya.