Selangor sumbang 20,000 dos vaksin kepada Pulau Pinang

Selangor memberikan sumbangan sebanyak 20,000 dos vaksin kepada Pulau Pinang. Gambar kecil dari kiri: Amirudin, Kon Yeow
Selangor memberikan sumbangan sebanyak 20,000 dos vaksin kepada Pulau Pinang. Gambar kecil dari kiri: Amirudin, Kon Yeow
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memberi sumbangan sebanyak 20,000 dos vaksin Covid-19 kepada kerajaan Pulau Pinang sebagai tanda solidariti bagi melawan wabak berkenaan.

Menerusi satu kenyataan bersama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sumbangan berkenaan bertujuan mempercepatkan proses vaksinasi di negeri itu bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

Kenyataan itu turut memaklumkan Selangor dan Pulau Pinang merakamkan penghargaan atas inisiatif semua pihak dalam menjayakan usaha yang bakal mengeratkan hubungan antara dua negeri berkenaan.

"Semoga usaha ini membantu mempercepatkan imuniti kelompok dalam kalangan rakyat Malaysia," kata kenyataan itu, pada Selasa.

Kerajaan Selangor pada 19 Ogos lalu memutuskan memberi pinjaman sebanyak 500,000 dos vaksin Covid-19 kepada beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Kenyataan itu juga memaklumkan, berdasarkan rekod Jawatankuasa Jaminan Khas Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga Jumaat, seramai 1.14 juta rakyat Pulau Pinang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin meliputi 6.4 peratus daripada populasi keseluruhan.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 55.7 peratus daripada populasi dewasa di Pulau Pinang telah lengkap divaksin.

"Inokulasi di Lembah Klang membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pula mencapai 81.4 peratus dos pertama dengan 91.1 peratus warga dewasa lengkap divaksin," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: