Sindiran nakal tak lunturkan semangat Sahul Hamid

Sahul Hamid menghiasi motosikalnya dengan bendera mini Jalur Gemilang setiap kali menjelang Bulan Kebangsaan.
Sahul Hamid menghiasi motosikalnya dengan bendera mini Jalur Gemilang setiap kali menjelang Bulan Kebangsaan.
A
A
A

BATU KAWAN - Meskipun berdepan sindiran sesetengah pihak, namun ia tidak melunturkan semangat Sahul Hamid Abdullah untuk menghiasi motosikalnya dengan bendera mini Jalur Gemilang setiap kali menjelang Bulan Kebangsaan.

Sahul Hamid, 53, berkata, sindiran nakal yang diterimanya hanya disifatkannya sebagai ketidakfahaman sesetengah anggota masyarakat terhadap maksud sebenar kemerdekaan itu sendiri.

"Ada kalanya orang ingat saya ni gila sebab tengok hiasan bendera Malaysia memenuhi segenap penjuru motosikal.

Tapi, saya tidak ambil hati pun, mungkin mereka tak faham apa yang saya rasa mengenai sambutan Hari Kebangsaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di sini pada Selasa.

Beliau yang bekerja sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Sungai Bakap berkata, keghairahannya menghiasi motosikal dengan bendera setiap kali menjelangnya Hari Kebangsaan lama-kelamaan telah menarik minat penduduk setempat untuk turut serta menghiasi kenderaan masing-masing antaranya basikal bagi peminat-peminat ciliknya.

"Apa yang membuatkan saya lebih teruja ialah tahun ini adalah merupakan tahun pertama saya terlibat dalam menghiasi bendera Jalur Gemilang pada basikal anak-anak jiran tetangga setelah enam tahun memberi fokus kepada hiasan motosikal sendiri.

"Inilah yang kita mahu sebab melalui kempen sekecil ini mampu menarik minat generasi muda untuk menyemai semangat kemerdekaan dan cintakan negara, selain turut mengajak mereka untuk mempelajari dan menghayati sejarah Malaysia dengan lebih mendalam," katanya yang tinggal bersendirian kerana masih bujang.

Kata anak keempat daripada dua belas beradik itu, kira-kira 300 hingga 450 unit Jalur Gemilang menghiasi motosikalnya di setiap penjuru dan sudahpun mendapat keizinan daripada pihak berkuasa untuk dibawa ke jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Bagi memastikan bendera yang dipasang betul-betul utuh, saya menggunakan pengikat kabel yang berkualiti selain turut menggunakan material besi ringan yang berperanan sebagai tempat untuk mengikat bendera selain turut mengambil kira dari segi kestabilan motosikal itu sendiri ketika menunggangnya.

"Selain itu, saya turut akan memastikan motosikal yang saya naiki ini tidak akan mengganggu keselamatan pengguna jalan raya lain dan mengutamakan keselamatan diri ketika di jalan raya," katanya yang sudah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan selama lebih 20 tahun.

Sahul Hamid menambah, perkara manis yang biasanya dilaluinya ialah apabila mendapat jemputan dari pihak sekolah dan pihak berkuasa sekitar negeri Pulau Pinang untuk terlibat dalam perarakan kemerdekaan.

"Setiap kali menjelangnya malam merdeka, saya juga akan mengelilingi bahagian pulau dengan menaiki motosikal yang dipenuhi bendera untuk menyemarakkan lagi sambutan hari yang penuh bermakna ini," katanya yang turut berharap agar semakin ramai generasi muda akan mengikut jejak langkahnya dalam menyemai rasa kecintaan terhadap negara. - Bernama