X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Di sebalik kelonggaran SOP, kemerdekaan daripada Covid-19 masih jauh

Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Penulis berharap yang kita akan dapat meraikan ulang tahun ke-64 kemerdekaan negara tahun ini bersama-sama kebebasan daripada Covid-19, sama seperti United Kingdom menyambut Freedom Day.

Namun, ternyata impian itu masih sedikit jauh untuk dicapai.

Kerajaan telah memberikan beberapa kelonggaran kepada individu yang lengkap vaksinasi, seperti makan di premis makanan atau 'dine-in' bersama-sama keluarga, menggunting rambut serta mengunjungi pasar minggu dan pasar malam, namun suasana tidak sama seperti sebelum Covid-19.

Ramai yang masih takut-takut untuk memanfaatkan kelonggaran itu sekalipun media sosial sering kali dibanjiri rungutan netizen yang berasa tertekan atau semakin bosan 'terkurung' di rumah sejak berbulan lepas.

Peniaga juga dilaporkan mengambil langkah berhati-hati dengan kebanyakan pengusaha kedai makan dan restoran belum lagi membenarkan pelanggan makan di premis masing-masing.

Pada hujung minggu yang lalu, penulis mengambil peluang berkunjung ke beberapa premis makanan bagi melihat sendiri situasi serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Memang benar, tidak banyak tempat yang membenarkan pelanggan makan di premis mereka.

Dalam pada itu, ada juga premis yang tidak menyemak sama ada pelanggan sudah lengkap dos vaksinasi sebelum dibenarkan duduk di meja -- barangkali kerana premis terbabit hanya membenarkan pelanggan duduk di luar atau tempat terbuka.

Di samping itu, jumlah pelanggan juga tidak seramai seperti sebelum pandemik mahupun ketika kes di negara ini hanya dua angka pada tempoh sama tahun lepas.

Antara alasan mereka keberatan memanfaatkan kelonggaran itu ialah rasa tidak percaya kepada orang lain, bimbang tentang pematuhan SOP serta kadar pemvaksinan yang masih belum memuaskan.

Penguatkuasaan SOP

Pengarah MyBurgerLab Chin Renyi memberitahu penulis mereka tidak akan dapat menentukan sama ada pelanggan yang datang itu sudah lengkap vaksinasi atau tidak apabila restoran dibuka untuk perkhidmatan 'dine-in' yang dijangka bermula pada 13 September ini.

“Jika seseorang mendaftar masuk menggunakan akaun orang lain atau menggunakan tangkap layar (sijil vaksinasi) orang lain, bukan tugas staf kami untuk mengesahkan ketulenan sijil itu. Staf kami memang lengkap vaksinasi, dilindungi. Cuma yang menjadi masalah apabila ada pelanggan tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja merisikokan diri mereka tetapi juga orang lain,” katanya.

Bagaimanapun katanya, MyBurgerLab tidak akan membenarkan keluarga yang mempunyai anak kecil makan di premis mereka untuk bulan pertama pembukaan premis kepada umum, sehinggalah ada data menunjukkan kelonggaran tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

Beliau berkata syarikatnya juga telah mengambil langkah pencegahan untuk meminimumkan jangkitan di dalam premis dengan memastikan semua pekerja divaksinasi, menambah baik sistem pengudaraan selain memasang penapis Udara Partikulat Berkecekapan Tinggi (HEPA) pada semua unit penyaman udara di premis.

Selamatkah kita?

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, kebanyakan kelonggaran yang diberikan adalah atas faktor ekonomi, bukan kerana keadaan sudah selamat.

“Tidak mudah untuk mencapai keseimbangan di antara kesihatan dan ekonomi; nyawa dan mata pencarian,” tulis beliau dalam hantaran Facebook rasminya.

Pakar kesihatan berkata perlu ada bukti kukuh bahawa vaksin mampu mengurangkan jangkitan. Disebabkan varian Delta mempunyai viral load (kuantiti virus dalam darah individu dijangkiti) yang tinggi, lebih banyak jangkitan breakthrough (jangkitan dalam kalangan mereka yang telah divaksinasi) berlaku berbanding strain terdahulu.

Sekalipun vaksin memberikan perlindungan secara langsung kepada individu daripada mengalami gejala yang teruk sehingga dimasukkan ke hospital, mereka yang dijangkiti ini masih boleh menyebarkan virus kepada orang lain - cuma tempoh mereka boleh menjangkiti itu singkat.

Di Lembah Klang, kira-kira 90 peratus penduduk dewasa telah menerima vaksinasi lengkap setakat ini, lapor Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19.

Sementara itu, data Kementerian Kesihatan menunjukkan Rt atau kadar kebolehjangkitan di Kuala Lumpur dan Selangor ialah pada 0.83 dan 0.94 masing-masing. Angka Rt di bawah 1.0 bermakna epidemik akan berakhir dalam tempoh tertentu.

Bagaimanapun enam negeri masih merekodkan jumlah penduduk yang menerima vaksinasi lengkap kurang daripada 50 peratus dengan masing-masing juga mencatatkan Rt melebihi 1.0.

Maizura Zainal Abidin yang menetap di Selangor, berpandangan Rt yang direkodkan di negeri itu tidak memadai untuk meyakinkan beliau sekeluarga keluar rumah.

“Sekalipun empat daripada kami telah lengkap vaksinasi, kami belum berani untuk makan di luar,” katanya. Tiga anaknya sedang menunggu pelaksanaan pemvaksinan untuk remaja sementara anak bongsunya yang berusia 10 tahun tidak layak untuk divaksinasi.

Ibu kepada enam anak, Maizura yang juga seorang guru itu berkata, beliau akan menimbang untuk keluar rumah selepas pandemik di Malaysia bertambah baik dengan angka jangkitan harian turun kepada 10,000 kes.

Nazirah Mannan, seorang peguam, juga bersetuju dengan pandangan itu dan berkata, beliau tidak percaya pelanggan lain akan patuh pada SOP.

Beliau memberi contoh satu pasangan di Klang baru-baru ini yang mendakwa telah menjalankan eksperimen sosial dengan pergi makan di restoran serta berkunjung ke beberapa kedai gunting, sekalipun mereka tidak divaksinasi.

“Saya gusar dengan orang-orang seperti ini yang berbohong. Sesetengah golongan antivaksin pula menggunakan sijil digital rakan mereka untuk makan di luar, dan tempat makan pula tidak menguatkuasakan arahan itu (hanya membenarkan individu lengkap vaksinasi),” katanya, menambah beliau hanya akan mengunjungi restoran yang tidak ada pelanggan lain.

“Saya juga tidak ada mood untuk keluar sekarang, sebab kalau saya keluar pun saya keseorangan. Kawan-kawan saya takut untuk makan di luar, takut bawa pulang virus,” katanya lagi.

Melihat pada situasi ini, Malaysia nampaknya perlu menunggu sedikit masa lagi sebelum keadaan kehidupan masyarakatnya dapat kembali seperti asal. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!