Penuntut IPT rugi RM11,739 ditipu sindiket tawar kerja sambilan

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) kerugian RM11,739 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan kononnya bagi platform e-dagang.

Kejadian bermula pada Jumaat lalu, apabila mangsa berusia 21 tahun dikatakan melayari laman sosial Facebook sebelum melihat satu iklan tawaran kerja.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berminat dengan pekerjaan itu kemudian menghubungi satu nombor dan telah berurusan dengan seorang wanita dikenali Miss Syahliza.

Menurutnya, suspek mendakwa dirinya pemilik kepada sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan secara dalam talian dan mahu membantu peniaga kecil.

"Mangsa diberi taklimat mengenai pekerjaan sebagai ejen pembelian dalam talian berkenaan dan turut dijanjikan bayaran komisen sebanyak 10 peratus apabila berjaya menyelesaikan setiap tugasan.

"Selepas itu, mangsa diminta melakukan tugas pembelian. Mangsa kemudian memasukkan wang sejumlah RM11,739 ke dalam beberapa akaun yang diberikan suspek melalui pindahan wang secara daalm talian bagi membolehkan aktiviti penjualan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun Mohd Wazir berkata, suspek gagal dihubungi selepas mangsa memasukkan wang.

Katanya, susulan itu mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi digunakan adalah memperdaya mangsa menerusi panggilan dan menyamar sebagai pihak berkuasa sehingga menyebabkan mangsa kerugian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda," katanya.