Kadar vaksinasi wanita hamil masih rendah di Thailand

Thailand menggesa semua wanita hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 kerana jumlah ibu mengandung yang belum divaksinasi dijangkiti virus kian meningkat. Foto hiasan
Thailand menggesa semua wanita hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 kerana jumlah ibu mengandung yang belum divaksinasi dijangkiti virus kian meningkat. Foto hiasan
A
A
A

BANGKOK - Thailand pada Isnin menggesa semua wanita hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 kerana jumlah ibu mengandung yang belum divaksinasi dijangkiti virus kian meningkat.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata, kadar vaksinasi dalam kalangan wanita hamil yang usia kandungan sekurang-kurangnya 12 minggu, amat rendah iaitu hanya 7.5 peratus atau 37,357 daripada 500,000 orang.

Beliau berkata, hanya 3,533 atau 0.7 peratus sahaja yang lengkap dua dos.

“Sehingga kini, kira-kira 2,542 ibu hamil telah dijangkiti Covid-19 dan 68 kematian dilaporkan.

"Kadar wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 telah meningkat sejak Jun," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Isnin.

Sementara itu, menurut jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana, Thailand akan mendapatkan tambahan 9.9 juta dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech.

Beliau berkata, kabinet pada Isnin meluluskan 4.7 bilion baht bagi mendapatkan vaksin mRNA tambahan untuk kumpulan berisiko tinggi termasuk pesakit yang mempunyai masalah kesihatan, wanita hamil, dan kanak-kanak berusia antara 12 hingga 17 tahun.

Terkini, kabinet meluluskan pembelian 100 juta dos vaksin Covid-19 termasuk 61 juta dos AstraZeneca, Sinovac (19 juta dos) dan Pfizer-BioNTech (20 juta dos).

Artikel Berkaitan:

Sejak vaksinasi dimulakan pada 28 Februari, Thailand telah menyuntik 30.95 juta dos termasuk 585,758 dos tambahan atau ‘booster’.

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 15,972 kes baharu Covid-19 dan 256 kematian, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan meningkat kepada 1.19 juta dan 11,399 kematian.

Taweesin berkata kadar kematian dalam negara adalah 0.97 peratus. - Bernama