X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Covid-19 ragut nyawa wanita hamil lima bulan

Karimah berkongsi gambar terakhir anak perempuannya yang dikebumikan di Kampung Banggol Kemiang, Pasir Mas. Gambar kecil: Nor Asiah.
A
A

PASIR MAS - Seorang wanita yang sedang hamil lima bulan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai pada Ahad akibat jangkitan Covid-19.

Nor Asiah Shukri, 32, yang merupakan ibu kepada dua anak berusia 12 dan 7 tahun itu meninggal dunia pada jam 2.05 petang.

Ibunya, Karimah Ismail, 51, berkata, sebelum disahkan dijangkiti Covid-19, Nor Asiah mempunyai gejala batuk manakala anak sulung arwah Mohamad Afiq Asyraf Mohd Zairi, 12, mengalami demam selama beberapa hari.

"Susulan itu, Nor Asiah telah menjalani ujian saringan Covid-19 di Hospital Pasir Mas pada 21 Ogos lalu dan kemudian disahkan positif Covid-19," katanya yang tinggal di Kampung Sri Bayu di sini.

Menurutnya, semua ahli keluarga telah membuat ujian saringan selepas itu dan suami arwah, Mohd Zairi, 34, serta dua anak turut disahkan positif Covid-19.

Kata Karimah, beberapa ahli keluarganya turut dijangkiti Covid-19 dan ada yang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta di rumah.

Karimah berkata, Nor Asiah kemudian telah dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke HSIP pada hari yang sama iaitu 21 Ogos.

"Bagaimanapun, tahap oksigen Nor Asiah dikatakan menurun sebelum dibawa ke HSIP untuk rawatan susulan dan dimasukkan ke ICU selepas tiga hari di wad biasa.

"Ketika di ICU keadaan arwah semakin membimbangkan sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam," katanya.

Karimah memberitahu, Nor Asiah sudah menerima vaksin dos pertama dua minggu lalu dan menunggu untuk mendapatkan vaksin bagi dos kedua.

"Anak saya juga tidak pergi ke merata tempat dan hanya keluar mendapatkan vaksin dua minggu lalu.

"Arwah dan suaminya yang bekerja sendiri hanya meninjau pekerjanya melakukan kerja di sawah berdekatan rumah mereka sahaja. Sehingga sekarang kami buntu dari jangkitan Covid-19 itu berlaku," katanya.

Karimah berharap, masyarakat terus patuh prosedur operasi standard (SOP) kerana Covid-19 amat bahaya.

Katanya, dia kehilangan anak perempuan dan bakal cucunya sekelip mata.

"Sebelum ini hanya tengok di media sosial dan televisyen pengebumian jenazah Covid-19 tetapi sekarang berlaku kepada anak sendiri.

"Betapa bahayanya Covid-19 kerana ia merebak dengan cepat," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!