Vaksin CanSino, Sinovac tingkat vaksinasi di enam negeri

Adham (tengah) bersama Ahmad Amzad (kiri) melihat proses pembotolan vaksin CanSino di Solution Biologics Sdn Bhd di Taman Teknologi Bukit Jalil hari ini. Foto Bernama
Adham (tengah) bersama Ahmad Amzad (kiri) melihat proses pembotolan vaksin CanSino di Solution Biologics Sdn Bhd di Taman Teknologi Bukit Jalil hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Vaksin dos tunggal CanSino dan Sinovac akan digunakan bagi meningkatkan vaksinasi di enam negeri yang masih mempunyai kadar vaksinasi populasi dewasa lengkap kurang daripada 50 peratus.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Malaysia membeli 3.5 juta dos vaksin CanSino dengan kumpulan pertama 200,000 dos berkenaan telah diterima dan diedar ke negeri-negeri yang kadar vaksinasi rendah.

Beliau berkata, 300,000 dos CanSino akan diterima bulan depan bagi mempercepatkan proses mencapai imuniti kelompok.

"Vaksin CanSino ini boleh digunakan untuk kawasan yang sukar diakses, tempat terpencil dan bagi penduduk kawasan yang sukar mendapatkan dua dos," katanya selepas lawatan kerja pertamanya ke kilang isi dan selesai Solution Biologics Sdn Bhd (SolBio) bagi vaksin Convidicea CanSino di Bukit Jalil pada Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin memberikan tempoh sehingga akhir bulan depan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan MOSTI memastikan enam negeri mencapai kadar vaksinasi Covid-19 melebihi 50 peratus pada akhir bulan depan.

Setakat Ahad, enam negeri yang mencatatkan vaksinasi kurang daripada 50 peratus itu adalah Perak (46.9 peratus), Terengganu (46.8 peratus), Johor (46.1 peratus), Kedah (44.2 peratus), Kelantan (43.9 peratus) dan Sabah (38 peratus). - Bernama

Artikel Berkaitan: